Pendakwaan Terpilih, Dua Bekas Peguam Negara Perlu Beri Penjelasan – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa dua bekas Peguam Negara iaitu Tommy Thomas dan Tan Sri Idrus Harun memberi penjelasan berhubung beberapa isu terutama pendakwaan terpilih membabitkan bekas pemimpin negara.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Tommy Thomas perlu menjelaskan maksud dalam bukunya bahawa beliau terlibat secara langsung dalam mengatur beberapa pendakwaan terhadap individu-individu politik ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Untuk berlaku adil saya menggesa bukan sahaja mantan peguam negara Tan Sri Idrus Harun perlu memberikan penjelasan, tetapi Tommy Thomas selaku mantan peguam negara sebelum ini yang membebaskan kes Lim Guan Eng juga perlu memberikan penjelasan.

“Malah Tommy Thomas juga perlu menjelaskan apakah yang dimaksudkan dalam buku beliau yang beliau terlibat secara langsung dalam mengatur beberapa pendakwaan terhadap individu individu politik ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya juga menggesa sekali lagi untuk Tommy Thomas menyatakan sama ada benar atau tidak mengenai beberapa dokumen yang telah tersebar terhadap kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang mana walaupun tidak mempunyai bukti untuk kes prima facie tetapi beliau tetap meneruskan pertuduhan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau dalam pada itu juga turut menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dijalankan dengan segera untuk menyiasat kandungan buku My Story: Justice In The Wilderness tulisan Tommy Thomas yang dilantik oleh bekas Perdana Menteri ketujuh.

“Jika ada salah laku ataupun pertuduhan terpilih yang dibuat ketika itu, maka satu tindakan undang-undang perlu diambil bagi memberi pengajaran kepada mana-mana pemimpin agar tidak sesuka hati mereka mempergunakan kuasa yang ada kepada mereka,” ujar beliau.

Terdahulu, Pemuda UMNO sebelum ini juga menuntut satu siasatan dijalankan berkenaan kesahihan dokumen yang didakwa “Memo Dalaman” Jabatan Peguam Negara.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, berkata sekiranya laporan berkenaan disahkan ketulenannya, maka pihaknya akan membuat satu lagi laporan kepada Suruhanjaya pencegahan Rasuah (SPRM) kerana didakwa terdapat penyalahgunaan kuasa oleh peguam terdahulu untuk menganiaya Najib. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.