Mohd Jafni Seru Pengundi Buat Pilihan Sebaiknya, Pilih Calon Kerajaan Perpaduan

PULAI, 6 Sept – Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berharap agar para pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram membuat pilihan sebaiknya dengan memberikan peluang kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan.

Jelas Exco Kerajaan Negeri Johor itu, beliau amat bersetuju dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar agar memberikan peluang kepada Kerajaan Perpaduan mentadbir negara selama satu penggal tanpa ada sebarang cubaan untuk meruntuhkannya.

“Sudah tentulah saya amat bersetuju dengan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Johor. Pertamanya sebab kalau kita tengok balik beberapa tahun ini selepas kekalahan BN pada 2018, kita kerap bertukar Perdana Menteri.

“Sebenarnya perkara pertama ialah rakyat nak buat perubahan tetapi apabila berlaku terlalu kerap penggantian Perdana Menteri ini sudah semestinya ia akan memberi kesian kepada ekonomi kita.

“Ekonomi negara semakin merudum pada ketika itu. Namun alhamdulilah selepas terbentuknya Kerajaan Perpaduan, saya lihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin dengan baik dan berusaha sebaik mungkin,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, untuk membina semula Malaysia ke arah yang lebih baik memerlukan masa yang lebih lama terutamanya selepas negara berhadapan dengan COVID-19.

“Kita sepatutnya melihat negara jiran seperti Indonesia bagaimana Jokowi dalam masa sepuluh tahun membawa negara tersebut ke suatu tahap lebih tinggi sehinggakan taraf kita hampir setara dari segi ekonomi.

“Rakyat perlu lihat bahawa untuk membina sebuah negara yang seperti Malaysia ini tidak boleh jadi lebih baik dalam sehari dua. Ini belum cerita lagi keadaan COVID-19 yang dilalui selama dua tahun dan bagaimana kerajaan Malaysia membelanjakan begitu banyak duit untuk menyelamatkan rakyatnya.

“Sebab itulah kita perlu memberikan peluang kepada Perdana Menteri sekarang ini untuk beliau merancang, menarik balik para pelabur dari luar negara untuk masuk ke Malaysia. Pelabur nak masuk bawa duit berbilion Ringgit, mereka mahukan kerajaan yang stabil,” kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor itu lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu turut beranggapan bahawa kestabilan kerajaan akan membolehkan ekonomi negara dapat dibangun dengan sebaiknya.

“Jadi, kita ada 147 kerusi. Sekiranya kita menang di Parlimen Pulai, kita akan kembali ke pada kedudukan dua pertiga. Kemasukan pelabur ini penting untuk rakyat kerana ianya turut diikuti dengan peluang pekerjaan.

“Sememangnya untuk membina semula negara kita ini memerlukan masa bertahun-tahun. Perdana Menteri perlu diberikan peluang sebaiknya bagi membawa negara balik ke landasan sepatutnya terutamanya dari sudut ekonomi” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merayu para pengundi di kedua-dua kerusi tersebut membuat pilihan yang bijak bagi menentukan masa depan Johor dan Malaysia lebih baik.

“Saya ingin merayu kepada rakyat Johor baik di Parlimen Pulai mahupun DUN Simpang Jeram. Di Johor ini kerajaan kita stabil, kita ada 53 kerusi. Kerusi DUN Simpang Jeram ini sangat penting untuk kerajaan negeri.

“Jadi rakyat kena faham bahawa mereka perlu mengundi dan memilih dengan bijaksana. Jangan menurut kata hati dan berilah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi peluang. Kita dah satu tahun setengah ini, banyak perkara telah kita lakukan untuk rakyat dan kita akan teruskannya.

“Saya ingin minta para pengundi di Johor ini untuk tidak terikut dengan kaedah negeri lain. Dengan kepercayaan rakyat memberi peluang kepada calon Pakatan Harapan (PH) di kedua-dua kerusi, Insya-Allah pasukan kita akan bersama-sama membina Johor yang lebih baik,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.