Kemenangan PH Di Simpang Jeram Isyarat Kebersamaan, Jangan Terpedaya Dakyah Pihak Lawan

BAKRI, 6 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram amat penting kerana ia satu isyarat yang jelas untuk menunjukkan kebersamaan di antara parti-parti Kerajaan Perpaduan.

Pesan Ketua Menteri Melaka itu, pengundi khususnya ahli UMNO jangan terpedaya dengan dakyah pihak lawan kerana mereka tidak suka melihat kerjasama dan kesepakatan yang wujud.

‘Saya menyeru kepada semua pengundi di Simpang Jeram ini fokus bahawa isyarat yang kita berikan kepada kemenangan calon Pakatan Harapan akan menunjukkan kebersamaan di antara parti yang bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan ini memberikan kerjasama yang baik.

“Oleh itu saya menyeru kepada semua pengundi termasuk dari parti UMNO hendaklah menunjukkan kesepakatan ini diterjemahkan di Simpang Jeram.

“Jangan terpedaya dengan dakyah-dakyah yang datang kerana mereka tidak suka melihat parti ini berada di dalam keadaan stabil,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui sejurus selesai Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Melaka bersama jentera Barisan Nasional (BN) DUN Simpang Jeram di sini baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Rais Yasin, Ketua UMNO Bahagian Bakri Datuk Azman Ismail, Ketua UMNO Bahagian Pagoh Datuk Ismail Mohamed dan calon PH Ir. Nazri Abdul Rahman.

Seterusnya, Ab Rauf juga berkata sokongan perlu diberikan kepada Kerajaan Perpaduan kerana kerajaan kini dalam usaha merangka dan melaksanakan pelbagai perancangan untuk kemajuan negeri.

“Kita dalam usaha untuk bersama-sama memikul tanggungjawab membetulkan ekonomi negara dan pastinya dengan kerajaan yang stabil nanti negara boleh dimajukan dalam pelbagai kerangka perancangan kemajuan negara.

“Oleh itu saya menyeru pengundi di Simpang Jeram, undilah calon daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Begitu juga Ab Rauf berpesan kepada pengundi DUN Simpang Jeram agar memilih dengan memikirkan masa depan negeri dan tidak berdasarkan emosi semata-mata.

“Saya juga menyeru bahawa tatkala kita hendak memberikan undi ini janganlah terlampau emosional kerana ia akan mengheret perasaan kita ke hala tuju yang salah.

“Berfikir dengan cara rasional kerana Kerajaan Perpaduan ini sudah terbukti menunjukkan kestabilan pentadbiran kerajaan di bawah parti-parti yang bergabung dan memberi jaminan pada masa depan rakyat di Malaysia.

“Contohi negeri Melaka dan Johor sendiri bahawa kerajaan yang cukup dengan kekuatan perpaduan boleh memakmurkan negeri dan memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.