Jalaluddin Bidas Pembangkang Tandus Isu, Tiada Perancangan Demi Masa Depan Rakyat

BAKRI, 6 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias membidas pembangkang yang ketandusan isu sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sepertimana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Katanya, pembangkang hanya mengelirukan pengundi khususnya orang Melayu dengan memainkan sentimen agama dan bangsa tetapi tiada apa-apa perancangan demi kemajuan negara dan masa depan rakyat.

“Isu pembangunan kita telah buat bagi tempoh yang begitu lama, berdekad lamanya. Isu yang berkaitan pembelaan agama, bangsa dan juga kepentingan masyarakat budaya kita juga sudah kita laksanakan dengan begitu baik.

“Perkara yang berkaitan kepada ekonomi, faktor-faktor yang berkaitan kesejahteraan rakyat ini semua telah kita lakukan dan kita tambah baik dari masa ke masa. Buah fikiran rakyat yang dikemukakan kita ambil kira. Kerana itu dalam soal yang berkaitan kepentingan rakyat dan negara, mereka tidak boleh pertikaikan.

“Cuma yang boleh mereka lakukan sekarang ialah dalam soal yang berkaitan sentimen agama, bangsa, berkaitan perjuangan parti untuk mendatangkan kepada kemarahan orang Melayu,” katanya yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan kepada UMNO Online di sini baru-baru ini.

Tambah menjengkelkan kata Jalaluddin lagi, ada di antara pemimpin pembangkang itu mereka yang lahir dari parti UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Tetapi oleh kerana suatu perkara yang berlaku ke atas diri mereka buat masa ini, maka mereka memberontak dan mengatakan perjuangan UMNO tidak boleh memberikan apa-apa kepada seluruh rakyat dan masyarakat.

“Saya tak fikir ini adalah satu politik yang sihat dan saya harap supaya rakyat sudah boleh buat keputusan dan matang untuk membezakan politik adu domba dan politik khidmat,” kata Ahli Parlimen Jelebu itu lagi.

Seterusnya Jalaluddin berpandangan ahli parti semakin menerima dengan baik kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya lihat rakyat dan pengundi semakin baik, semakin menerima kerjasama Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dan semakin merasai apa yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri sebagai Presiden UMNO.

“Di dalam hendak memastikan kepentingan rakyat, masyarakat dan negara menjadi keutamaan dalam urus tadbir yang mereka lakukan. Saya nampak rakyat sudah mula merasai dan menikmati perjuangan yang mereka lakukan. Insya-Allah rakyat akan terjemahkan dalam kertas undi pada 9 haribulan (Sept) nanti,” ujarnya.

Untuk rekod, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

PH menampilkan bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kayat bagi Parlimen Pulai, manakala DUN Simpang Jeram pula, PH meletakkan Ir Nazri Abdul Rahman bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 9 Sept (Sabtu) bagi kedua-dua kawasan itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.