Demi Masa Depan Johor, Pengundi Jangan Beri Signal Yang Silap – Hasni


BAKRI, 6 Sept – Penasihat Ekonomi (Pelaburan) Negeri Johor Datuk Seri Ir Hasni Mohammad berkata demi masa depan negeri, pengundi di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dinasihati jangan memberi isyarat yang silap dengan memilih pembangkang.

Kata Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, kestabilan politik di Johor yang diterajui Barisan Nasional (BN) dan Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi serta pelbagai lagi keistimewaan menjadi faktor utama kemasukan pelabur.

Hasni juga berpandangan Johor kini berada di landasan yang tepat ke tahap terbaik ditambah pula dengan keselarian dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

“Jadi untuk itu saya ingin mengingatkan pengundi janganlah kita beri satu signal ataupun gambaran yang silap khususnya kepada pelabur-pelabur yang nak datang. Sebagai Pengerusi Johor Economic Tourism and Culture Office (Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor – JETCO) di Singapura, ramai pihak yang saya temui semua menyatakan tentang kelebihan dan keistimewaan yang ada pada Johor.

“Dan termasuklah antara perkara induk dan pokok yang mereka bincangkan tentang kestabilan negeri Johor ini kerana pelaburan-pelaburan yang hendak masuk ke negara kita telah membuat keputusan untuk datang ke Johor.

“Johor tahun 2022 nombor satu dalam pelaburan. Kenapa tidak Pulau Pinang, Selangor tetapi di Johor… ini memberi orang Johor satu kesempatan untuk meyakinkan kepada pelabur bahawa mereka tidak silap dalam membuat keputusan,” katanya kepada UMNO Online.

Bekas Menteri Besar Johor itu ditemui sejurus selesai turun padang membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) ketika mengadakan ziarah kasih rumah ke rumah bersama UMNO Bahagian Sekijang selaku bahagian angkat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Taman Cenderawasih di sini baru-baru ini.

Seterusnya kata Hasni, atas dasar itu, jentera BN turut bertanggungjawab untuk memastikan calon yang diketengahkan PH iaitu Ir Nazri Abdul Rahman wakili Kerajaan Perpaduan menang.

“Demi Johor Barisan Nasional telah membuat keputusan dan ini adalah keputusan yang terbaik. Saya amat menyokong penuh keputusan pucuk pimpinan parti untuk memastikan dan mengetengahkan calon yang saya yakin dapat membantu Johor.

“Kalau Nazri esok kita beri mandat, satu lagi seorang jurutera profesional duduk dalam Dewan Negeri. Jadi ini adalah satu pendekatan yang dapat menambah lagi kekuatan kerajaan yang ada pada hari ini.

“Jadi sebab itulah saya tidak ragu-ragu untuk berkempen beritahu kepada pengundi-pengundi di Simpang Jeram ini bahawa Barisan Nasional sesungguhnya membuat keputusan yang tepat untuk negeri Johor iaitu bekerjasama dengan calon (PH), menterjemahkan kerjasama kerajaan di Putrajaya, di negeri Johor untuk kepentingan masa depan UMNO dan Barisan Nasional,” tambahnya.

Ini kerana katanya sebagai individu yang diberi tanggungjawab menarik pelaburan dari luar, beliau yakin kestabilan politik menjadi pertimbangan utama para pelabur.

“Kita menterjemahkan apa yang orang harap terhadap Johor. Kita ada tanggungjawab menarik pelaburan.

“Yang paling besar lagi tanggungjawab ialah untuk mengekalkan pelaburan yang ada di Johor, perniagaan-perniagaan yang ada di Johor ini terus kekal berada di Johor. Dan untuk itu berlaku, kestabilan menjadi pertimbangan utama mereka,” katanya.

Untuk rekod, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

PH menampilkan bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kayat bagi Parlimen Pulai, manakala DUN Simpang Jeram pula, PH meletakkan Nazri bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 9 Sept (Sabtu) bagi kedua-dua kawasan itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.