Bangsa Johor Sepakat, Pelihara Dan Melindungi Negeri Ini Dari Anasir Luar – Noor Azleen

BAKRI, 6 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros menegaskan bahawa rakyat negeri terbabit bersepakat untuk terus pelihara dan melindungi negeri Johor ini daripada unsur-unsur luar yang mahu memecah belahkan perpaduan sebagai sebuah ‘Bangsa Johor’.

Ini kerana katanya, apa juga warna gelombang bukan nilai sebenar dan sangat bertentangan dengan jati diri sebagai sebuah Bangsa Johor.

“Kita sepakat untuk terus kekalkan nilai-nilai sebagai sebuah ‘Bangsa Johor’ yang muafakat serta bersatu padu. Bagi yang punya pegangan kuat berasaskan prinsip Islam sebenar hasil didikan dan tarbiah sistem Sekolah Agama Johor dan bukannya hasil didikan atau doktorin tadika aliran Islam milik mana-mana parti.

“Kita sepakat untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram ini terus diwakili oleh wakil Kerajaan Perpaduan bagi memastikan agenda ‘Maju Johor’ di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi terus diperkukuh dan dapat sama-sama direalisasikan.

“Johor ini bangsanya waras dan rasional untuk memilih pencapaian, prestasi, berbanding terbelenggu dengan sentimen dan persepsi, “ katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Seterusnya kata Azleen, perkumpulan jentera sayap-sayap yang melibatkan jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Isnin adalah untuk menzahirkan sokongan yang jitu pada calon DUN Simpang Jeram, Nazri Abd Rahman.

“Perkumpulan itu adalah sebahagian usaha untuk menzahirkan muafakat bagi memenangkan calon Kerajaan Perpaduan yang telah sama-sama disepakati. Jentera UMNO/BN dari Parlimen Bakri dan utara Johor berkumpul bagi memberi sokongan kepada calon DUN Simpang Jeram.

“Paling penting gerak kerja mendekati, memujuk, meraih sokongan dan menyakinkan pengundi oleh jentera UMNO di semua 11 PDM dalam DUN Simpang Jeram akan diteruskan hingga hari mengundi. Itu adalah janji dan komitmen kami,” jelas beliau lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan 9 September ditetapkan sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dan pengundian awal 5 September 2023 (hari ini).

PRK bagi dua kerusi itu diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.