Rakyat Perlu Rasional, Percaya Kredibiliti Mahkamah Buat Keputusan – Shabery

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berharap rakyat untuk rasional dalam menilai keputusan mahkamah membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Jelas beliau, tidak adil sekiranya kes mahkamah yang dilepaskan membabitkan pemimpin UMNO dianggap sebagai mendapat campur tangan sedangkan mahkamah adalah sebuah badan berasingan daripada eksekutif.

“Kita kena rasional kerana keputusan mahkamah bukannya berasaskan sesuatu yang ‘nak lepaskan dia sebab nak lepaskan dia kerana orang kita’.

“Mahkamah telah membuat pelbagai keputusan dan ini adalah keputusan mahkamah dan tidak boleh kita hendak katakan ‘kalau Muhyiddin dibebaskan itu adil’ dan ‘kalau Zahid dibebaskan itu tidak adil sebab campur tangan eksekutif’ dan sebagainya.

“Ini yang berlaku sekarang tetapi yang pentingnya kita melihat secara rasional, saya bagitahu kepada kawan-kawan bahawa orang ramai masih lagi tak percaya.

“Mereka tidak percaya kerana tidak memahami kes ini, tapi adakah anda seronok melihat pemimpin anda terpenjara kerana anda tak suka dengan dia?” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Pengguguran Kes Presiden UMNO: Yang Perlu Anda Tahu yang disiarkan secara langsung malam tadi di UMNO Online.

Ahmad Shabery yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata musuh UMNO sengaja memberikan persepsi yang tidak benar bagi menutup kebenaran dan mempengaruhi rakyat.

Malah menurut beliau paling dikesali bahawa ada segelintir pemimpin UMNO juga turut bersama mempercayai persepsi dicipta musuh.

“Kalau UMNO apabila musuh memaparkan sesuatu yang tidak benar melalui paparan yang boleh mencemar pemimpin UMNO ramai yang termakan, terpalit, terikut dengan soal ini dalam proses yang kita lihat sehingga UMNO dilihat mengecil. Bahkan sebahagian daripada pemimpin UMNO yang terikut-ikut.

“Saya baca dalam pelbagai komen, faham kerana ramai orang yang sudah membuat keputusan dan menganggap keputusan mereka itu betul ‘kami tak sokong UMNO kerana Zahid, rasuah penyalahgunaan kuasa’ dan sebagainya.

“… tetapi apabila mahkamah kata kes itu dilepaskan dikatakan ‘ah sudah tentu, ada mainan yang lain’ sebab dia sudah membuat keputusan kerana persepsinya begitu,” kata beliau.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kes itu kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.