PRK Parlimen Pulai: Sebanyak 65 Peratus Keluar Mengundi Awal Setakat 12 Tengah Hari

JOHOR BAHRU, 5 Sept – Sebanyak 65 peratus daripada 927 anggota dan pegawai polis telah menunaikan kewajiban mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai, setakat 12 tengah hari ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak dua pusat mengundi awal iaitu Balai Polis Kempas dan Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di Tampoi, yang mempunyai tiga saluran telah dibuka serentak bermula 8 pagi tadi.

Bagaimanapun pusat pengundian awal di Balai Polis Kempas yang hanya mempunyai seramai 46 pengundi telah ditutup pada 12 tengah hari tadi, manakala Markas PPM Wilayah Dua yang dijadikan pusat pengundian awal bagi 881 orang, dijadual akan ditutup pukul 5 petang ini.

Cuaca di kedua-dua tempat pengundian awal adalah cerah, namun Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan hujan di kawasan tersebut petang nanti.

Turut meninjau proses pengundian awal hari ini ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat serta ketiga-tiga calon bertanding iaitu Suhaizan Kaiat (Pakatan Harapan), Zulkifli Jaafar (Perikatan Nasional) dan calon Bebas, Samsuddin Mohamad Fauzi.

PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Bagaimanapun, tiada pengundian awal bagi kerusi DUN Simpang Jeram.

PRK Parlimen Pulai bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Suhaizan, Zulkifli dan Samsudin.

SPR menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua kerusi tersebut pada Sabtu ini, selepas tempoh berkempen yang bermula pada 26 Ogos lepas, berakhir pada 11.59 malam, 8 Sept. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.