Peluang Terbaik UMNO Gerak Ke Hadapan, Henti Berpolitik 24 Jam – Tengku Zafrul

KUALA LUMUPUR, 5 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz meluahkan kesyukuran dengan keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan.

Katanya, ini adalah peluang yang terbaik untuk UMNO terus memandang ke hadapan sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dan terus fokus meningkatkan ekonomi negara dan kemakmuran rakyat.

“Alhamdulillah, Malaysia semakin dilamar pelabur, sama ada dari luar mahupun dalam negara, dan ini mencerminkan keyakinan berdasarkan kestabilan politik negara.

“Kecenderungan untuk berpolitik 24 jam, mempertikaikan segala keputusan dan usaha, tidak akan menjamin masa depan negara kita dan masa depan anak-anak kita yang akan mewarisi negara ini dari generasi kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja turut berkata menghormati keputusan mahkanah adalah penting dalam mengekalkan integriti dan kredibiliti sistem kehakiman negara

Menurut Tengku Zafrul ini kerana sistem kehakiman dan perundangan Malaysia yang diamalkan hari ini telah wujud sejak Merdeka, dan adalah sejajar dengan sistem yang digunapakai di negara-negara Komanwel.

“Dalam sistem ini, pihak pendakwa raya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menghentikan pertuduhan.

“Malah, ini mencerminkan komitmen Kerajaan terhadap prinsip pengasingan kuasa antara Parlimen, Eksekutif, dan Badan Kehakiman, serta keyakinan bahawa setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan fakta yang kukuh,” ujar beliau.

Semalam, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat ini.

Permohonan menghentikan semua prosiding itu dibuat ketika peringkat bela diri dengan 15 saksi sudah memberi keterangan setakat ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.