Kemenangan Simpang Jeram Penting, Kukuhkan Lagi Kestabilan Politik Johor – Nurul Amal


BAKRI, 5 Sept – Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili parti Kerajaan Perpaduan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram amat penting bagi Johor agar kestabilan negeri itu terus kekal dan kukuh.

Bagi Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, kemenangan itu juga adalah untuk manfaat rakyat kerana wujud kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

“Kepada semua pengundi di sini saya mendoakan calon nombor dua (Ir Nazri Abdul Rahman) untuk DUN ini mendapat sokongan daripada orang-orang Simpang Jeram khususnya kerana kita mahukan satu negeri yang maju dan stabil. Ini adalah penting untuk Kerajaan Negeri Johor.

“Jadi kepada semua pengundi jangan lupa untuk keluar mengundi pada 9 haribulan (Sept) ini. Kemenangan Pakatan Harapan / Barisan Nasional di DUN ini adalah penting kerana ingin memastikan Kerajaan Negeri Johor terus stabil dari segi politik serta ekonominya. Dan kepada semua jangan lupa untuk keluar mengundi dan pastikan anda mengundi calon nombor dua,” katanya kepada UMNO Online.

Nurul Amal ditemui ketika program Santai Anak Muda bersama ahli-ahli Puteri UMNO Bahagian Bakri di Apac 99 Badminton Court Jalan Sakeh di sini baru-baru ini.

Jelasnya juga, atas keutuhan negeri, hasrat Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghani untuk terus memajukan negeri akan tercapai hasil dokongan semua.

“Dan di sini di Johor kemenangan di DUN Simpang Jeram ini adalah untuk orang Johor khususnya untuk kita membantu dan sokong Menteri Besar Datuk Onn Hafiz seorang yang muda, yang kuat bekerja.

“Jadi kepada orang muda yang di luar sana kalau mahukan Datuk Onn Hafiz ini terus berkhidmat dan terus majukan Johor khususnya untuk orang Johor juga, pastikan pada 9 haribulan (Sept) ini keluar mengundi dan pilih calon nombor dua,” katanya lagi.

Untuk rekod, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

PH menampilkan bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kayat bagi Parlimen Pulai, manakala DUN Simpang Jeram pula, PH meletakkan Ir Nazri Abdul Rahman bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 9 Sept (Sabtu) bagi kedua-dua kawasan itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.