Malaysia, Indonesia Lancar Kerjasama Institusi Akademik

JAKARTA, 4 Sept – Malaysia dan Indonesia melancarkan kerjasama institusi akademik melibatkan Pusat Kajian Ikatan Malaysia-Indonesia (IKMI) Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia dan Program Pengajian Indonesia-Malaysia (IMSP) di Pusat untuk Pengajian Asia Timur, Universitas Prasetiya Mulya Indonesia.

Perasmian kerjasama bagi membina rangkaian kolaboratif antara kerajaan kedua-dua negara dilakukan oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan rakan sejawat dari Indonesia, Retno Marsudi di Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA) di sini.

Zambry berkata kerjasama kedua-dua universiti adalah hasil daripada lawatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sini pada Januari dan lawatan Presiden Joko Widodo ke Malaysia pada Jun.

“Semasa lawatan ke Jakarta, Perdana Menteri menyeru Indonesia dan Malaysia untuk terus bekerjasama dalam isu serantau bagi menjamin kepentingan politik dan ekonomi kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua menteri turut mengulangi bahawa Indonesia dan Malaysia perlu membangun, mengekalkan dan terus memupuk hubungan baik antara kedua-dua negara.

Zambry juga menggesa institusi akademik untuk menggalakkan hubungan baik dan saling menghormati kedua-dua negara seperti yang terkandung dalam Piagam ASEAN.

“Saya menyeru sektor swasta untuk bekerjasama dan membangunkan perkongsian strategik dengan institusi akademik melalui aktiviti yang dibiayai kedua-dua pihak melalui penyelidikan kolaboratif dan selanjutnya boleh memberikan khidmat nasihat kepada kerajaan,” katanya.

Kedua-dua menteri luar itu juga melawat Pusat Inovasi Digital dan Kelestarian Ekonomi ERIA (E-DISC) yang baru dilancarkan secara rasmi pada 24 Ogos tahun ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.