Kerajaan Hormati, Tidak Campur Tangan Kes Mahkamah Libat Zahid Hamidi – Fadillah

SUBANG, 4 Sept – Kerajaan tidak campur tangan dan menghormati proses perundangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam kes pecah amanah melibatkan Yayasan Akalbudi (YAB).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata selain percaya kepada proses pengasingan kuasa antara Parlimen, eksekutif dan badan kehakiman, beliau yakin keputusan dibuat itu berdasarkan fakta yang kukuh.

“Jadi bagi saya biarlah proses perundangan itu berjalan dengan baik dan kita hormatilah.

“Kita tidak akan campur tangan, terserahlah kepada pihak Pejabat Peguam Negara untuk menilai apa tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB, selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

Mengulas lanjut Fadillah berkata semua pihak seharusnya menghormati keputusan mahkamah, selepas proses sepatutnya sebagaimana yang termaktub dalam sistem perundangan telah dilalui.

“Saya rasa selain yang ini, banyak keputusan lepas juga menjadi keputusan yang kontroversi tapi bagi saya itu hak mutlak mahkamah, jadi sebaiknya kita hormatilah,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.