Ribut: 36 Peniaga Ipoh Night Market Terima Bantuan Kerajaan Negeri – Saarani

IPOH, 3 Sept – Musibah yang menimpa 36 peniaga di Ipoh Night Market di sini dalam kejadian ribut pada malam Ambang Merdeka lepas mendapat perhatian kerajaan negeri yang tampil memberikan bantuan kepada mereka.

Sumbangan itu disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad ketika bertemu kumpulan peniaga di tapak berniaga berkenaan itu hari ini.

Saarani yang turut meninjau kawasan yang terjejas kemudiannya turut menghulurkan sumbangan wang ihsan berjumlah RM1,000 kepada setiap mangsa yang terlibat.

“Sumbangan itu diharap dapat meringankan sedikit beban mereka yang difahamkan masih ada segelintir peniaga belum lagi memulakan perniagaan mereka.

“Mereka sudah pasti sudah menyediakan modal yang besar pada hari kejadian memandangkan malam itu dijangkakan ramai pengunjung kerana malam Ambang Merdeka, walaupun sumbangan ini tidak besar namun diharapkan ia dapat membantu,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada 36 peniaga dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Salbiah Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sandrea Ng Shy Ching.

Saarani berkata kerajaan negeri juga turut menyediakan kemudahan pinjaman mikro kredit kepada usahawan yang terjejas dalam usaha memastikan nasib mereka terbela.

“Kita akan minta pihak Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) untuk uruskan jika ada keperluan untuk mereka membuat pinjaman melalui Tekun Nasional, Yayasan Perak dan lain-lain agensi berkaitan.

“Saya harap semua peniaga yang terlibat sabar dengan ujian yang mereka hadapi dan jangan berputus asa selain lipat gandakan usaha selepas ini,” katanya.

Dalam kejadian ribut pada pukul 5.30 petang itu, hampir kesemua gerai rosak diterbangkan ribut namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Pengurusan Ipoh Night Market menganggarkan kerugian dialami lebih RM200,000 selepas premis perniagaan mereka rosak akibat kejadian ribut itu.

Kerosakan melibatkan 36 gerai termasuk bumbung premis yang runtuh serta dua trak makanan termasuk kabel elektrik serta saluran paip air yang terjejas dan memerlukan masa untuk diperbaiki.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.