Kerajaan Komited Tegakkan Hak Kanak-Kanak – Azalina

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau berbesar hati menerima cadangan daripada penyokong hak kanak-kanak dan pertubuhan masyarakat sivil untuk mewujudkan sebuah badan bebas bagi menegakkan hak kanak-kanak di Malaysia.

Azalina berkata cadangan itu menggambarkan bagaimana masyarakat sivil menyokong usaha perundangan kerajaan.

“Menjaga perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama dalam kalangan rakyat Malaysia. Meraikan 66 tahun kemerdekaan negara, kita mesti mewujudkan integriti nasional kita dengan memperjuangkan hak setiap kanak-kanak,” katanya.

“Kerajaan MADANI komited untuk menegakkan hak kanak-kanak dan mengiktiraf kepentingan ketelusan dan badan pengawasan bebas, seperti Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC),” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Selain itu, beliau berkata usaha sedemikian meyumbang ke arah melindungi masa depan dengan memastikan keselamatan kanak-kanak.

Justeru, Azalina berharap Rang Undang-Undang Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia yang telah dirangka selepas pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan utama, sesi pertukaran ilmu dan kajian mendalam, dapat dibentang di Parlimen pada Oktober ini.

“Saya mengharapkan hasil yang positif dan akan terus melibatkan semua pihak berkepentingan dalam memastikan penubuhan OCC Bebas yang akan berfungsi untuk menegakkan hak semua kanak-kanak di Malaysia,” katanya.

Antara cadangan yang diketengahkan oleh 12 penyokong hak kanak-kanak dan pertubuhan masyarakat sivil ialah Suruhanjaya Kanak-Kanak mesti bebas, meliputi semua bidang isu kritikal berkaitan kanak-kanak, menambah baik penyampaian dan perlindungan perkhidmatan kesihatan asas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.