Ahmad Zahid Ucap Selamat Menyambut Hari Kebangsaan, Seru Rakyat Berpadu Atas Nama Perpaduan

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan dan menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu-padu atas nama perpaduan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau turut mengajak rakyat untuk menghayati erti kemerdekaan meskipun berbeza agama, budaya dan bangsa.

“Kita, rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita. Perpaduan adalah kekuatan asas kita, walau berbeza budaya, agama dan bangsa namun kita tetap teguh bersama.

“Hayati erti kemerdekaan dan zahirkan rasa syukur, hargai keamanan serta kebebasan yang dikecapi selama 66 tahun ini.

“Semarakkan semangat patriotik seiring tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang menjadi kunci kepada penyatuan kita,” katanya.

Hari Kemerdekaan Malaysia, juga dikenali sebagai Hari Kebangsaan atau Hari Merdeka, disambut di seluruh Malaysia pada setiap 31 Ogos setiap tahun bagi menandakan negara bebas daripada belenggu penjajahan sejak 1782 sehingga tahun 1957.

Hari kebangsaan merupakan peristiwa utama dan disambut secara besar-besaran dengan mengadakan perarakan warna warni, nyanyian, pertunjukan pentas, pertandingan dan pelbagai lagi pertunjukan yang diadakan di tempat-tempat yang ditetapkan setiap tahun.

Sambutan Hari Kemerdekaan atau Kebangsaan serta Hari Malaysia pada tahun 2023 adalah bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.