Mahkamah Baharu Ampang Dijadual Siap 17 Dis – Azalina

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Projek pembinaan mahkamah baharu Ampang, Selangor, merangkumi empat Mahkamah Sesyen dan enam Mahkamah Majistret dijadualkan siap pada 17 Dis ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata sehingga 21 Ogos lalu, status fizikal projek mahkamah yang akan dilengkapi dengan kemudahan teknologi terkini seperti Sistem Court Recording Voice-To-Text (RVT) adalah pada 85.34 peratus.

Pembinaan mahkamah tersebut telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).

Pelaksanaan semula projek adalah bagi menyiapkan baki kerja di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia ke -12 (RMKe-12), katanya, dalam kenyataan, di sini, semalam.

Katanya, Mahkamah Ampang sedia ada beroperasi dengan menyewa di bangunan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terdiri daripada tiga Mahkamah Sesyen dan tiga Mahkamah Majistret.

Azalina berkata selain Ampang, di Selangor, terdapat enam lagi mahkamah baharu yang sedang dibina iaitu di Sik, Kedah; Pengerang, Johor; Temerloh, Pahang; Mahkamah Sesyen dan Majistret di Ipoh, Perak; Kompleks Mahkamah Johor Bahru, Johor dan di Bachok, Kelantan.

Katanya, projek naik taraf mahkamah sedia ada juga sedang giat dilaksanakan di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau berharap pembinaan mahkamah baharu, naik taraf, ubah suai dan pemuliharaan mahkamah itu akan memberi keselesaan kepada kakitangan mahkamah, peguam dan orang awam yang akan menggunakan kemudahan infrastruktur itu kelak.

“Ini juga dapat menambah baik prasarana badan kehakiman negara serta dapat memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dalam bidang kehakiman dan perundangan kepada rakyat,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.