Johor Mohon Tempat Letak Kereta Bertingkat Di HSA

JOHOR BAHRU, 29 Ogos – Kerajaan Johor akan terus memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar tempat meletak kenderaan bertingkat dibina di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi menangani isu kesesakan.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata selain isu HSA yang sudah mencapai had kapasiti dalam menampung jumlah pesakit, isu pelawat ataupun pesakit yang sukar mendapatkan tempat meletak kenderaan turut menjadi perhatian.

“Isu ini telah menyebabkan banyak pelawat dan pesakit terpaksa meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan utama di mana ia mengakibatkan keadaan lalu lintas di kawasan HSA menjadi sesak.

“Justeru, saya akan terus memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar tempat meletak kenderaan bertingkat dapat dilaksanakan di HSA ini, ” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Onn Hafiz berkesempatan melawat HSA dalam lawatan Kembara Bas dari Johor Bahru ke Senai.

Menurutnya, pada masa sama beliau telah mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan daripada pihak pemaju bagi membuka ruang serta menyediakan tempat meletak kenderaan di kawasan lapang berhadapan HSA, berhampiran dengan jejantas.

“Semoga usaha ini diberkati Allah dan membuahkan hasil demi kesejahteraan Bangsa Johor. Insya-Allah,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.