Jangan Guna Lambang Parti Ketika Salur Bantuan Kerajaan – PM Anwar

JOHOR BAHRU, 25 Ogos – Sebarang bentuk penyaluran bantuan kerajaan sepanjang tempoh berkempen, termasuk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram tidak boleh menggunakan lambang parti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata perkara itu juga telah dibincangkan bersama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Ada berbangkit tentang penyaluran bantuan-bantuan kerajaan kepada rakyat, lambang parti tidak boleh digunakan. Ini telah diamalkan Perikatan Nasional (PN) dahulu dan saya percaya ada juga satu dua kes berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.

“Arahan kita perkara ini (guna lambang parti), tidak boleh kerana bantuan kerajaan harus disalur atas nama kerajaan,” katanya selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat dan Penyerahan 1,000 bakul Rahmah di Dataran Taman Dahlia di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua kerusi berkenaan pada esok, pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept.

Kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Anwar berkata sepanjang tempoh berkempen juga semua pemimpin dan jentera parti diminta mematuhi dan menghormati segala peraturan ditetapkan SPR bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Anwar berkata kerajaan sedaya upaya tidak mahu rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup dengan memastikan segala aspek yang boleh dikawal kerajaan, termasuk dalam pemberian subsidi barangan keperluan, diteruskan untuk kemudahan ramai.

Beliau berkata ia termasuk memperluaskan dan meneruskan lagi inisiatif Jualan Rahmah iaitu legasi peninggalan Allahyarham Salahuddin yang terbukti banyak membantu rakyat kurang berkemampuan untuk memiliki barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Bagaimanapun katanya, ada perkara yang berada di luar kawalan kerajaan, misalnya apabila kerajaan India mengumumkan untuk menaikkan cukai eksport bagi bawang sebanyak 40 peratus, yang dijangka akan memberi kesan kepada kenaikan harga bawang di negara ini.

Menurutnya disebabkan itu, bagi tempoh jangka masa panjang, kerajaan memberi tumpuan agar sektor pertanian terus diperkasa bagi mengurangkan kebergantungan import makanan yang mencecah puluhan bilion ringgit setiap tahun,

Selain Onn Hafiz, turut hadir pada majlis kenduri berkenaan ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh, Naib Presiden Amanah Senator Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, dan calon yang dinamakan Amanah bagi bertanding pada PRK Pulai, Suhaizan Kaiat.

Sebelum itu, Anwar menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor Zaidi Salman di Masjid Jamek Ar-Rahman, Taman Dahlia, di sini dan beramah mesra dengan jemaah yang hadir. – BERNAMA

@umnoonline