Pelantikan 10 Barisan Exco N. Sembilan Hasil Kesepakatan PH-BN

KUALA PILAH, 24 Ogos – Pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan hari ini merupakan hasil kesepakatan dan perbincangan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) daripada peringkat akar umbi hingga ke kepimpinan utama parti.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata beliau optimis barisan kepimpinan berkenaan mampu melakukan yang terbaik untuk pentadbiran kerajaan negeri, sekali gus memastikan kejayaan agenda Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan dapat direalisasikan.

“Barisan Exco dalam kalangan baharu dan lama adalah baik…ada Exco Kanan (Datuk Seri Jalaluddin Alias), ia pertama kali dalam pentadbiran kita (negeri).

“Setiap portfolio disusun mengikut senioriti, kemampuan serta kebolehan ahli Exco dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti gabungan Kerajaan Perpaduan dengan menampilkan enam muka baharu dan empat muka lama,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Exco di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.

Aminuddin berharap semua Exco berkenaan akan membawa perubahan dan memacu pembangunan negeri, selain pengalaman daripada barisan muka lama dapat membantu Exco baharu mentadbir serta mengurus Negeri Sembilan dengan lebih baik.

Aminuddin, yang juga ADUN Sikamat, berkata pelantikan tiga Exco wanita pada kali ini melepasi 30 peratus, sekali gus menunjukkan kerajaan negeri tidak meminggirkan peranan wanita dalam pentadbiran negeri.

Sementara itu, ADUN Pertang Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata lantikan barisan Exco dipersetujui secara kolektif oleh semua pihak demi kestabilan Kerajaan Perpaduan dan memperkukuhkan pentadbiran di bawah kepimpinan Aminuddin di Negeri Sembilan.

“Setelah berbincang bersama PH, maka kita sudah mencapai keputusan kolektif untuk kestabilan Kerajaan Perpaduan. Keputusan diambil selepas mengambil kira pelbagai aspek maka kami bersetuju pecahan Exco, BN (empat), DAP (empat) dan dua PKR,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata BN dan PH adalah satu pasukan Kerajaan Perpaduan yang akan memacu pentadbiran Negeri Sembilan serta melaksanakan tugas untuk kesejahteraan rakyat dengan lebih baik.

“Kami akan pastikan segala agenda pembangunan, kemudahan infrastruktur dapat dilaksanakan segera bagi memastikan manifesto yang dibentangkan dapat dilaksanakan,” katanya yang menyifatkan pelantikannya sebagai Exco Kanan satu pengiktirafan kepada BN. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.