DUN Belia Perak Berperanan Lahir Pemimpin Pelapis
IPOH, 23 Ogos – Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Perak yang dijangka bersidang Disember ini merupakan platform membentuk dan melahirkan generasi pelapis untuk menyambung legasi pentadbiran khususnya di peringkat negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata peluang itu seharusnya digunakan sebaik-baiknya oleh perwakilan terpilih bagi memastikan isu yang dibawa mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan Perak.
“Persidangan ini merupakan platform terbaik bagi perwakilan yang terpilih untuk mengetengahkan cara baharu melihat sesuatu isu selain mempamerkan keterbukaan dalam membahaskan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat dan negeri,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Mengulas mengenai pencalonan perwakilan DUN itu, beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan seramai 300 calon akan berdaftar mewakili setiap kawasan DUN bagi sesi 2023/2024.
Menurut Khairudin, belia yang berminat untuk berdaftar boleh merujuk kepada syarat dan terma melalui laman web Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).
Khairudin berkata pendaftaran akan dibuka bermula 25 Ogos hingga 8 Sept ini manakala bagi sesi pendaftaran pengundi pula pada 25 Ogos hingga 29 Sept ini.
“Belia di Perak akan menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi perwakilan pada 30 Sept hingga 1 Okt ini,” katanya.
Beliau berkata platform dalam talian merupakan kaedah utama yang akan diguna pakai dalam pemilihan perwakilan iaitu melalui laman web eheyns.com.my.
“Jumlah keseluruhan perwakilan yang akan dipilih bagi mewakili setiap DUN di Perak adalah seramai 59 orang dan DUN Belia ini akan bersidang sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya.- BERNAMA