UMNO/BN Perlu Muhasabah Dan Post-Mortem, Kenal Pasti Punca Penyusutan Undi – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Muhasabah dan ‘post-mortem’ selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu dilakukan bagi mengenal pasti sebab utama UMNO/Barisan Nasional (BN) mengalami penyusutan sokongan sebelum menentukan sebarang bentuk tindakan.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, pelbagai usaha perlu dilakukan setiap peringkat, bukan sahaja untuk memperoleh kembali sokongan rakyat bahkan meletakkan semula UMNO/BN sebagai parti teras.

“Pelbagai usaha perlu dilakukan di segenap peringkat bukan sahaja untuk menarik sokongan rakyat, tetapi meletakkan semula kedudukan UMNO/BN sebagai parti teras sebagaimana tahun-tahun sebelum 2018.

“Antaranya satu bentuk rekonsiliasi nasional perlu diusahakan di peringkat akar umbi khususnya antara orang Melayu dan orang bukan Melayu bagi menjernihkan prasangka antara satu sama lain serta meredakan polarisasi etnik.

“Usaha ini melangkaui semangat kepartian kerana melalui proses urbanisasi, interaksi sosial masyarakat antara etnik tidak lagi dapat dielakkan,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, majlis perundingan antara etnik perlu diwujudkan dalam memberi ruang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil sentiasa duduk berbincang.

“Majlis perundingan antara etnik perlu diwujudkan dalam memberikan ruang kepada NGO dan masyarakat sivil yang mewakili aspirasi setiap kumpulan masyarakat untuk sentiasa duduk berbincang serta mencapai kesefahaman bagi setiap perselisihan di mana majlis perundingan ini dikelola oleh pihak kerajaan.

“Platform ini berpotensi menjadi medan yang konstruktif melalui ‘bottom-up approach’ agar kerajaan mampu bertindak bertepatan dengan kehendak rakyat berdasarkan maklum balas dari lapangan sendiri,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Anis Anwar turut berpandangan bahawa pembuktian empirikal daripada ‘post-mortem’ adalah diperlukan untuk menambah baik hala tuju dan strategi parti secara menyeluruh.

“Pasca PRN 2023 yang berlangsung, keutamaan yang perlu diberikan adalah bermuhasabah dan melakukan ‘post-mortem’ sebelum menentukan sebarang bentuk tindakan. UMNO tidak boleh tergesa-gesa melakukan tindakan tanpa panduan data yang jelas.

“Pembuktian empirikal seperti data dan fakta hasil daripada ‘post-mortem’ atau tinjauan pasca pilihan raya adalah diperlukan untuk menambah baik hala tuju serta strategi parti secara menyeluruh berbanding tindakan yang tergesa-gesa yang hanya berfokus kepada satu pihak sahaja. Pelbagai faktor perlu diambil kira terlebih dahulu.

“Hasil daripada tinjauan lapangan pasca PRN dan ‘post-mortem’ dalaman, barulah penambahbaikan secara berperingkat perlu dilakukan untuk memulihkan semula imej UMNO dan merangkul semula kedudukan mereka sebagaimana era kegemilangan mereka sebelum ini,” katanya lagi.

Keputusan PRN bagi keenam-enam negeri memperlihatkan gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan tiga negeri sedia ada iaitu Pulau Pinang, Selangor dan juga Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional (PN) turut kekal bertahan di tiga negeri lagi iaitu Kedah, Terengganu dan juga Kelantan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.