Kerajaan Negeri Diharap Beri Sokongan Supaya Malaysia Termasuk Antara 30 Ekonomi Terbesar Dunia

MELAKA, 21 Ogos – Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berharap agar kerajaan negeri dapat bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan negara ini berada dalam kelompok 30 ekonomi terbesar dunia.

Malaysia kini berada di tangga ke-37 dalam kelompok itu, justeru dukungan dan sokongan daripada semua pihak amat diperlukan bagi mencapai matlamat berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Pengarah Pejabat Belanjawan Negara Datuk Shahrol Anuwar Sarman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari.

Ahmad juga berkata kenaikan gaji tahunan serta faedah-faedah lain berkaitan penjawat awam antara perkara sedang dibincangkan kerajaan ketika ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan berusaha untuk menaikkan sedikit gaji penjawat awam sebagai langkah sementara menerusi Belanjawan MADANI kedua yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini, sehingga kajian berkaitan perkara berkenaan selesai.

Kementerian Kewangan (MOF) memulakan Program Jelajah Belanjawan 2024 bermula hari ini dengan Melaka merupakan destinasi pertama bagi mendapatkan input daripada akar umbi mengenai perancangan kewangan negara pada tahun depan.

Selepas Melaka, siri jelajah akan diteruskan ke Johor pada 25 Ogos dan diikuti Pulau Pinang, Sabah, Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah, Sarawak, Perak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Labuan dan dijangka berakhir pada 22 Sept depan.

Mereka yang ingin memberikan cadangan bagi Belanjawan 2024 boleh berbuat demikian sebelum 14 Sept menerusi laman sesawang https://belanjawan.mof.gov.my/ms/cadangan2024/. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.