Agong, Raja Permaisuri Zahir Ucapan Takziah Kepada Keluarga Mangsa

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Datuk Seri Johari Harun dan sembilan mangsa lagi yang terkorban dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, Selangor petang semalam.

Turut menzahirkan ucapan sama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut catatan di laman Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdulllah dan Tunku Azizah menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mengejut kesemua mangsa.

“Seri Paduka berdua berharap agar seluruh keluarga mangsa yang terlibat sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini, dan mendoakan agar mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Istana Negara turut memaklumkan Allahyarham Johari merupakan rakan akrab Seri Paduka berdua.

Al-Sultan Abdulllah dan Tunku Azizah amat menghargai sumbangan Allahyarham Johari kepada Pahang terutama dalam memperjuangkan masyarakat desa serta luar bandar dan menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada negeri itu dan pasangan diraja berkenaan.

Johari merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai di Parlimen Bentong serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengesahkan bahawa beliau berada dalam senarai penumpang pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam.

Turut tersenarai dua juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta lima penumpang lain iaitu Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.