Bekas Adun Tanjung Bidara Meninggal Dunia Malam Tadi

MELAKA, 16 Ogos – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Ab Karim Sulaiman, 75, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Jeram, Masjid Tanah kerana sakit jantung pada 9.20 malam tadi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka Abdul Hakim Abdul Wahid berkata Allahyarham sebelum itu menerima rawatan selama lima hari di sebuah hospital swasta di Klebang sebelum dibenarkan pulang ke rumahnya petang semalam.

“Jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor nanti di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fatimah Md Nor dan dua anak lelaki serta dua anak perempuan.

Arwah merupakan bekas Pengarah Ikatan Relawan Rakyat (RELA) (kini dikenali sebagai Jabatan Sukarelawan Malaysia) sebelum menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada 1999.

Beliau kemudiannya dipilih sebagai ADUN Tanjong Bidara pada PRU11 pada tahun 2004 dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri.

Allahyarham berkhidmat di kerusi Tanjung Bidara selama dua penggal dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit