PRN: Jentera BN Di Setiap Peringkat Mesti Diperkukuh, Siap Siaga – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Barisan Nasional (BN) mengarahkan persiapan dan memperkukuhkan semua jentera parti di setiap peringkat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan malam tadi berkata perkara demikian antara yang diputuskan di dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang membincangkan beberapa perkara penting berkait rapat dengan PRN tersebut.

“Dewan Tertinggi juga menghormati keputusan dan komitmen parti komponen BN bagi memastikan kemenangan di semua kawasan yang ditandingi.

“Kerjasama di antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan akan diperkukuh dan dipertingkatkan,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, BN bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan Program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan.

“Di Kedah pada 15 Julai 2023, Pulau Pinang (16 Julai 2023), Kelantan (23 Julai 2023), Negeri Sembilan (27 Julai 2023) dan Terengganu (28 Julai 2023).

“Sehubungan itu, adalah diharapkan sokongan rakyat bagi menjayakan program ini dan seterusnya menyokong calon-calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan telah diadakan bagi negeri Selangor.

Begitu juga katanya, BN komited mempertahankan prinsip yang termaktub di dalam perlembagaan bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran dalam negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.