Pemimpin PN Jadi YB Bukan Berkhidmat Tapi Jadi ‘Yang Banyak Alasan’ – Tengku Hafiz

PUTRAJAYA, 6 Julai – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan mempersoalkan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang sehingga kini masih berdolak-dalik dalam merealitikan janji 50 tawaran sebagaimana ‘Era Baharu Putrajaya’ yang dikemukakan ketika kempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Katanya yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, telah lebih tujuh bulan berlalu namun janji-janji yang dilaungkan Radzi sebelum ini tidak direalitikan.

“Janji 50 tawaran, semua orang Putrajaya termakan… dah tujuh bulan lebih tapi semua janji jadi ‘capati’.”

Bidasnya, jika alasan menunggu peruntukan dari kerajaan Pusat maka tentunya semua orang boleh menjadi Yang Berhormat (YB).

“Zaman UMNO Putrajaya pembangkang 22 bulan, kerja dan pusat khidmat kami tetap berjalan.

“Putrajaya dah tak ada Yang Berhormat tapi Putrajaya ada YB baharu iaitu ‘Yang Banyak Alasan’,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu dilaporkan bahawa penduduk Putrajaya terpaksa memohon bantuan dari Pusat Khidmat UMNO Bahagian Putrajaya lantaran wakil rakyatnya hanya mewujudkan pusat khidmat secara dalam talian yang dikenali sebagai ‘Putrajaya Care’.

Pelbagai aduan dari orang awam juga memaklumkan bahawa Radzi dilapor tidak menunaikan janji-janji 50 tawaran sebagaimana dalam kempen PRU15 atas alasan partinya bukan kerajaan pusat, bukan menteri, bukan kerajaan, tidak ada duit, tidak ada peruntukan dan macam-macam lagi.

“Kita bukan bercakap sesuatu yang tidak benar atau fitnah sebaliknya kita ada bukti sebagaimana Putrajaya Care yang mereka wujudkan hari ini hanya bersifat online sedangkan janji yang dinyatakan tidak ditepati,” kata Tengku Hafiz lagi.

Sehubungan itu Tengku Hafiz menyeru kepada rakyat Malaysia agar tidak lagi terpedaya dengan janji manis Perikatan Nasional (PN) apatah lagi menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Negara akan hancur jika ahli politik hanya tahu menabur janji palsu dan gula-gulakan rakyat dengan tawaran dongeng.

“Sempena PRN di enam negeri akan datang, rakyat boleh ambil peluang untuk menghantar isyarat kepada pembangkang supaya berhenti bermain politik kosong. Pastikan pilihan untuk yang ada bukti ‘track record’ memerintah negara dengan baik. Undilah Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan,” kata beliau.

Ketika kempen PRU15, Radzi dalam manifestonya Era Baharu Putrajaya menawarkan 50 perkara termasuklah janji pewujudan sebuah pusat khidmat sehenti, iaitu Putrajaya Care yang kononnya bakal berperanan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Ahli Parlimen kepada warga Putrajaya serta platform bagi mendapatkan bantuan. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit