UMNO Berperanan Besar Dalam Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO mempunyai peranan besar di dalam Kerajaan Perpaduan.

Dalam ucapan dasarnya, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO menjadi pelindung dan benteng kepada asas-asas keindukan bernegara agar perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan terus dipertahan dan tidak dipertikai.

“Kedua, menjamin kerjasama politik yang dijalin adalah atas kepentingan negara dan rakyat di samping menentukan kestabilan negara tidak akan diganggu-gugat oleh mereka yang kemaruk untuk berkuasa.

“Ketiga, memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal menjadi rakan strategik politik Kerajaan Perpaduan dan kedudukan UMNO serta BN mestilah mencerminkan representasi sebenar keberadaan kita khususnya di Semenanjung dan Sabah,” kata Pengerusi BN itu.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Perkara keempat tambah Ahmad Zahid lagi, UMNO memainkan peranan penting dalam isu-isu ummah melalui kerjasama dengan negara-negara Islam.

“Kelima, meningkatkan penglibatan Malaysia di pentas antarabangsa bagi menarik lebih banyak pelaburan dan perniagaan ke negara ini demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam ucapannya itu juga, Ahmad Zahid mencadangkan kepada kerajaan agar segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) yang bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig dan menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal sehingga pekerja dan pengguna.

Sektor ini ujarnya kian berkembang pesat di negara ini dengan lebih 1.12 juta pekerja gig telah berdaftar dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan tambahan pula lebih 80 peratus daripada pengguna ekonomi gig ini adalah anak muda.

Begitu juga tambahnya kerajaan perlu memperkenalkan pelan FELDA 5.0 bagi menyediakan perancangan untuk generasi kelima.

“Tumpuan pelan ini melibatkan penyediaan pendidikan berkualiti, peluang keusahawanan, akses kepada teknologi, kemahiran yang bersesuaian dan perancangan perumahan yang selesa buat mereka,” katanya.

Ahmad Zahid turut mencadangkan agar kerajaan memastikan pengagihan ekonomi dan kekayaan dapat dikongsi bersama khususnya buat masyarakat desa.

“Melalui proses urbanisasi, kerajaan mestilah merencana kemasukan industri-industri strategik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi kampung dan desa.

“Langkah ini juga merupakan ikhtiar kita untuk menoktahkan soal kemiskinan yang masih melingkari kehidupan rakyat di desa,” katanya.

Seterusnya tambah Ahmad Zahid, UMNO menggesa kerajaan agar dapat menyegerakan pelaksanaan semula pembangunan High Speed Rail (HSR) dan pembinaan ECRL dan Pan Borneo di Sabah dan Sarawak disiapkan mengikut jadual.

Selain itu katanya, UMNO berharap kerajaan memastikan kebajikan penjawat awam dan pasukan keselamatan terus terbela khususnya dalam aspek perumahan, bebanan tugas guru harus dilihat semula, pelindungan hak sebagai pekerja dan memastikan perkhidmatan kesihatan dipertingkatkan termasuk menyelesaikan isu perkhidmatan doktor kontrak. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.