Keahlian UMNO 3,442,280… Tolak Dakwaan Parti Tidak Popular

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Meskipun acapkali UMNO dilabelkan sebagai sebuah parti pilihan ketiga, tidak popular serta tidak diterima oleh anak muda namun jumlah keahliannya terkini menolak dakwaan terbabit.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang membacakan laporannya dalam Perhimpunan Agung UMNO 2023, hari ini memaklumkan bahawa keahlian UMNO ialah 3,442,280 orang.

“Berbicara mengenai keahlian UMNO, suka saya kongsikan kepada semua bahawa sehingga 6 Jun 2023, UMNO mencatatkan 3,442,280 orang ahli merangkumi 22,125 cawangan dari 191 Bahagian di seluruh negara termasuk Sabah,” katanya.

Jelas beliau, untuk tahun ini sahaja, penambahan keahlian baharu dari 1 Januari sehingga 6 Jun 2023, adalah seramai 13,442 orang.

“Suka saya menarik perhatian semua adalah daripada jumlah keahlian baharu yang mendaftar pada tahun ini, sebanyak 8,876 orang atau 66 peratus adalah mereka yang berusia 18-30 tahun.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Puteri UMNO atas pertambahan keahlian seramai 4,957 orang ahli baru.

“Ini merupakan satu petunjuk positif yang parti kita masih ada pendukungnya, masih ramai yang ingin turut serta dan UMNO parti yang sentiasa terbuka.”

Katanya, untuk statistik bilangan ahli teramai, diterajui oleh empat negeri Sabah mengunguli senarai dengan 604,328 orang, diikuti negeri Johor dengan 455,125 orang, Selangor seramai 432,030 orang, Kedah 302,939 orang.

“Manakala, 5 Bahagian yang mencatatkan bilangan ahli tertinggi adalah 3 bahagian dari Sabah (Lahad Datu – 47,223, Libaran – 41,719, Semporna – 41,285), diikuti Gombak – 38,955 dan Baling – 37,410.

“Justeru, fokus dan komitmen yang seharusnya diberikan oleh seluruh kepimpinan bahagian adalah untuk memastikan mereka menjadi pengundi parti dan membina idealism agar memahami hakikat perjuangan sebenar UMNO.

“Ramainya ahli ini tidak akan bermakna sekiranya tidak dapat digembelingkan usaha menggerakkan mereka untuk bersama dengan agenda parti dan diterjemahkan ke dalam kertas.”

Justeru beliau berharap agar persidangan ini menjadi medan untuk berkongsi pandangan, pentas menyuntik kefahaman terhadap isu-isu yang melingkari lingkungan dan yang paling penting mencari pendekatan baharu untuk meraih dan mengembalikan sokongan dan keyakinan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.