Pemuda Main Peranan Penting Usaha Kukuhkan Parti – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap Pemuda UMNO dapat memainkan peranan penting dalam usaha mengukuhkan lagi parti berkenaan di seluruh negara dengan melihat dan berdasarkan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Menurut beliau anak-anak muda yang menjadi pengundi termasuklah mereka yang berumur 18 tahun perlu dicari jalan pendekatan yang bersesuaian termasuklah memperkasakan lagi media sosial dan sebagainya supaya mereka tidak keliru dengan hakikat sebenarnya.

“Media sosial… kita akui UMNO dilihat lemah dalam soal ini… satu inci sesuatu dijadikan 10 meter. Namun kita tidak boleh salahkan mereka meletakkan ‘racun’ dalam makanan kita sebaliknya kita semua perlu berperanan menggagalkan mereka untuk meletakkan ‘racun’ di dalam hidangan kita.

“Apa yang penting dan apa yang utama terus perkasakan media sosial menerusi TikTok, Facebook dan rangkaian media sosial yang lain untuk memastikan parti dan institusi seluruhnya diperkasakan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menegaskan bercakap soal pilihan raya negeri yang turut disentuh oleh beberapa wakil pembahas daripada Pemuda UMNO negeri, masing-masing bukan sahaja perlu menanam sikap untuk menang malah perlu disusuli dengan tidnakan selanjutnya.

“Berbicara atas kertas memang mudah tetapi untuk merebut kemenangan bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ianya bukanlah mustahil. Pemuda memainkan peranan penting kukuhkan parti seluruh negara.

“Ini cara kita saya setuju kita terjemahkan… kalau mahu menang kita buat kerja orang mahu menang… langkah pun mesti mahu menang… bicara kita bicara orang mahu menang… senyum kita senyum mahu menang… jangan niat mahu menang tetapi kerja mahu kalah.

“Justeru apabila balik ke kawasan masuk lihat kelemahan parti kita dan bukannya lihat kelemahan parti orang lain dan bukannya mengharap kelemahan pihak lain untuk mencapai kemenangan. Kita menang dengan kekuatan kita sendiri,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.