Kita Tidak Ada Masalah, Cuma Ingin Selesaikan Hal berkaitan ‘Adik-Beradik’ Dahulu

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Exco Pemuda UMNO, Mohamed Khairul Azman Abdul Aziz menegaskan pergerakan itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan pemuda-pemuda parti yang membentuk kerajaan perpaduan hari ini, namun hal-hal yang berkaitan dengan ‘adik-beradik’ perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO hari ini, beliau menambah langkah pergerakan itu tidak menjemput rakan-rakan pemuda yang membentuk kerajaan tidak harus disalah tafsir dengan pelbagai andaian kerana Pemuda mempunyai hala tuju yang tersendiri.

“Setiap organisasi, pertubuhan dan persatuan perlu ada objektif dan matlamatnya. Sebagai Pergerakan Pemuda UMNO, kita perlu mempunyai hala tuju yang tersendiri. Hala tuju tersendiri bermaksud pendirian kita para pemuda terhadap perjalanan Pergerakan Pemuda tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Disebabkan itu, saya memuji tindakan ketua kita, YB Dr. Akmal Saleh, yang telah berjiwa besar dengan tidak menjemput Pemuda daripada parti komponen Kerajaan Perpaduan.

“Jangan salah faham. Saya tidak mempunyai masalah peribadi dengan kepimpinan pemuda parti komponen Kerajaan Perpaduan. Tetapi saya bersetuju dengan Ketua Pemuda kita bahawa masalah adik-beradik perlu diselesaikan dahulu. Kita perlu membersihkan rumah kita dahulu, kita perlu menghias rumah kita dahulu, sebelum menjemput orang luar masuk bertamu. Bukan apa, kita risau bahawa nanti tetamu kita tidak selesa dan akan bercerita dengan orang lain tentang keadaan rumah kita.

“Perkara ini jelas membersihkan imej kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO yang dikatakan dipilih disebabkan oleh perkataan-perkataan jelik seperti penjilat, macai dan lain-lain. Biarlah Pergerakan Pemuda UMNO menentukan rentak kita sendiri. Dr. Akmal Saleh saya yakin, mempunyai ‘maverick tendencies’ beliau yang tersendiri. Melalui itu, beliau mampu untuk menggerakkan Pergerakan Pemuda UMNO khususnya dalam usaha untuk menyatukan para Pemuda UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucapa sebagai pencadang Usul Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO, pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Mohamed Khairul seterusnya menambah pergerakan itu juga perlu menyantuni secara berterusan golongan muda di luar sana dan Pemuda di setiap bahagian perlu lebih rancak dalam melaksanakan pengkaderan khususnya dalam meramaikan ahli pergerakan pemuda bahagian.

Tambahnya lagi menjadi tanggungjawab semua untuk memberi pendidikan politik yang betul kepada golongan ini terutamanya dalam membezakan sentimen dan fakta politik harus dipergiatkan.

“Rakan-rakan perwakilan perlu ingat bahawa sudah dua kali kita kalah disebabkan oleh mainan sentimen. Oleh itu, saya berharap pada PRN (Pilihan Raya Negeri) yang mendatang, sentimen-sentimen tersebut dapat kita tangkis dengan hujah yang bernas dan berfakta. Pemuda perlu menjadi ejen penyampai dasar-dasar parti di setiap bahagian dan cawangan.

“Perkara ini amat penting kerana rakyat di luar sana ingin mengetahui perkara yang akan dilakukan oleh UMNO. Walaupun kita diperingatkan bahawa PPBM akan ambil alih kedudukan kita sebagai pembela orang Melayu dan Islam, tetapi saya yakin masih ramai lagi rakyat di luar sana yang mahukan UMNO sebagai pembela mereka.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan polisi parti sekali gus menyatakan kesediaan kita untuk membantu rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Saya simpulkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO, pada pendapat saya, wajib berdiri sendiri dan tidak terikat, mestilah menyantuni golongan muda dan harus menjadi ejen penyampai dasar dan polisi parti,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.