Ini Rumah Kita, Jangan Cemar Atau Robohkan Institusi Pemuda UMNO – Hairi

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah mengingatkan seluruh ahli pergerakan itu agar terus istiqamah dan jangan sesekali merobohkan rumah institusi berkenaan malah jangan sesekali dicemari dengan sebarang anasir yang tidak sihat.

Berucap ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO petang tadi, beliau menegaskan walaupun parti mengalami suka dan duka sejak 2018 yang lalu, masing-masing datang ke perhimpunan agung pergerakan itu hari ini dengan semangat yang cukup jitu.

“Ini rumah kita… jangan sesekali kita cemari rumah kita dan jangan sesekali robohkan rumah kita… di sini kita dilahirkan dan ramai antara kita wajah baharu yang masih setia bersama parti UMNO.

“Walaupun parti jatuh dan mengalami peristiwa suka dan duka sejak 2018 lalu, lihatlah keliling kita hari ini. Kita hadir hari ini atas nama UMNO sebuah perjuangan. Kita bukan sekadar berkumpul semata-mata tetapi bermuhasabah dan membaiki kelemahan serta membina kerangka besar hala tuju kita bagi parti keramat ini,” katanya.

Beliau seterusnya berharap para perwakilan yang balik ke kawasan masing-masing dapat membawa segala pandangan dan segala isi hati yang dikongsikan oleh kepimpinan parti dalam usaha mengukuhkan UMNO di pelbagai peringkat.

“Tidak ada gunanya kita balik ke kawasan tanpa membawa segala pesanan dan sebagainya. Kita bawalah mesej ke bahagian dan cawangan… apatah lagi enam negeri yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita perlu memastikan gerak kerja berfokus dan bersusun. Begitu juga soal naratif dan sebagainya yang perlu dimainkan secara betul dan jangan sama sekali salah fakta. Apa pun masing-masing laksanakanlah apa yang diamanahkan.  Sesungguhnya kemanisan itu dapat dikecapi apabila mencapai kemenangan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pendokong serta penyokong khususnya kalangan ahli di peringkat akar umbi yang kekal setia untuk bersama parti hari ini berdepan segala cabaran. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.