Pelaburan The Langkasuka Dan KXP Yang Cacamarba – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berpendapat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor harus menjawab kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dengan jelas supaya rakyat negeri Kedah tidak keliru tentang apa sebenarnya yang berlaku.

Ini kerana katanya, situasi ini menunjukkan kelemahan dan kegagalan tataurus kerajaan pimpinan Sanusi menguruskan pelaburan The Langkasuka dan Kulim International Airport (KXP) sehingga projek menjadi kelam kabut.

“Lebih memeranjatkan lagi ialah apabila Menteri Pengangkutan Anthony Loke mendedahkan bahawa tiada permohonan daripada pihak KXP tentang ‘aerodrome runway facility’.

“Rupanya yang dihantar ke Kementerian Pengangkutan hanyalah laporan akhbar dan spekulasi, akan tetapi tiada permohonan formal ‘runway facility’ yang dihantar.

“Rakyat dihidangkan dengan pelbagai desakan dan tuntutan supaya kelulusan terhadap projek KXP tersebut akan tetapi rupa-rupanya masalah ialah daripada permohonan itu sendiri. Sanusi usahlah menjadi seperti tin kosong,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Shaiful seterusnya berkata khabar angin tersebar luas dan bertiup kencang di Langkawi yang mengkhabarkan pelabur arab yang terlibat di dalam projek The Langkasuka dipercayai sudah cabut lari di mana perkara tersebut disembunyikan dan projek akan terus juga berjalan pada kadar yang perlahan.

“Masa akan menentukan dan sudah semestinya kita boleh menilai sejauh mana kebenaran khabar angin ini. Jika dalam masa terdekat projek yang berjalan hanyalah projek Langkasuka Golf and Country Club, maka boleh kita simpulkan bahawa projek tersebut dah selamat ke lautlah tu.

“Sama juga keadaannya dengan projek KXP. Rakyat telah melihat syarikat pelaksana juga sudah bertukar-tukar beberapa kali.

“Sebelum ini Datuk Seri Sanusi melantik ECK Group sebagai rakan pelaksana projek. Kemudian tak lama selepas itu, penglibatan ECK telah ditamatkan kerana kegagalan mereka untuk membuat deposit 125% daripada RM2.1 bilion bagi tujuan pengambil alihan seperti yang dilaporkan akhbar oleh pada 13 Julai 2022,” katanya lagi.

Kata beliau lagi, penarikan diri oleh Ivory Properties Group Bhd dalam projek tersebut yang sebelum ini mempersetujui untuk membangunkan komponen residensi seluas 135 ekar di Airportcity dan Aerotropolis di Kuala Muda.

“Ia berkemungkinan adalah kerana Ivory Properties pula memenuhi kriteria Practice Note 17 (PN17) Bursa Malaysia pada 1 Ogos 2022 yang membawa maksud syarikat tersebut mengalami masalah kewangan.

“Ivory mencatatkan kerugian net loss RM79.51 juta pada tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2022 dengan liabiliti kumpulan pula melebihi aset sebanyak RM60.22 juta,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.