Yakin Rakyat Perak Beri Mandat Pada BN – Saarani

PERAK, 19 Nov – Sasaran Barisan Nasional (BN) memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diyakini berjaya untuk dicapai, seterusnya membentuk kerajaan.

Pengerusi BN Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia adalah berdasarkan tinjauan termasuk golongan orang muda.

“Berdasarkan tinjauan kita yakin sokongan pengundi pada BN di Perak termasuk golongan muda tidak goyah.

“Pentadbiran kerajaan BN yang terjamin dan terbukti sebelum ini memberi keyakinan kepada para pengundi untuk terus bersama-sama BN,” ujar beliau.

Saarani sebelum itu dilihat membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Azlan Shah, Lenggong bersama isteri Datin Seri Aezer Zubir pagi tadi.

Mereka tiba kira-kira pukul 8.07 pagi dan memasuki pekarangan tempat mengundi sebelum selesai dan keluar kira-kira 15 minit kemudian.

Beliau turut beramah mesra bersama para pengundi serta meninjau proses pembuangan undi yang berjalan lancar.

Menurut Saarani, beliau berharap orang ramai dapat keluar mengundi terutama dalam keadaan cuaca yang sangat baik. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.