Tinggal Beberapa Jam, Pengundi Perlu Ambil Kesempatan Jayakan Proses Demokrasi Negara

MACHANG 19 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berharap pengundi dapat keluar mengundi dengan tempoh pengundian yang bakal tamat beberapa jam sahaja lagi.

Menurut beliau pengundi di seluruh negeri itu termasuk Parlimen Machang perlu mengambil kesempatan untuk sama-sama menjayakan proses demokrasi negara.

“Kita berharap pengundi-pengundi khususnya di Machang dan Kelantan amnya dapat keluar mengundi sebelum tamat tempoh pengundian hari ini untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

“Alhamdullilah, cuaca hari ini baik dan berharap orang ramai  terus keluar mengundi hari ini dimana-mana pusat mengundi yang telah ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Kata beliau lagi masing-masing buatlah pilihan terbaik dalam proses demokrasi negara.

“Buatlah pilihan yang terbaik dan pilihan yang tepat. Laksanakan tanggungjawab dan kewajipan kita kepada negara,” ujarnya.

Datuk Ahmad Jazlan melaksanakan tanggungjawab mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang, pagi tadi.

Beliau yang merupakan calon BN Parlimen Machang tiba pada jam 8 pagi bersama isteri, Wan Norizan Wan Ismail di Pusat Mengundi dan selesai membuang undi kira- kira 15 minit kemudian.

Jumlah pengundi parlimen Machang adalah seramai 88,825 orang. Pada PRU 15 menyaksikan Datuk Ahmad Jazlan menerima tetangan empat penjuru dari Perikatan Nasional (PN),  Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Pakatan Harapan (PH), Dr. Rosli Allani S. Abdull Khadir dan Mejar (B) Muhamad Seman (Gerakan Tanah Air).- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.