Selamat Mengundi… Pilih Kestabilan Dan Kemakmuran

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Hari ini proses pengundian bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU15) bermula secara rasmi pada pukul 8 pagi yang menandakan mandat rakyat sebagai kuasa penentu memilih kerajaan selaku sebuah negara demokrasi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 20,853,681 daripada keseluruhan 21,173,638 pemilih berdaftar layak menjalankan tanggungjawab mereka
Bermula jam 8 pagi hingga 6 petang di Semenanjung Malaysia.

Sementara bagi pengundi di Sabah, Sarawak dan Labuan, masa mengundi ditetapkan bermula pada 7.30 pagi hingga 5.30 petang.

Barisan Nasional (BN) menawarkan manifesto Perancangan Amal Dan Usaha (PADU) bertemakan ‘Kestabilan dan Kemakmuran’dengan misi mengembalikan tampuk kepimpinan sebagai kerajaan Persekutuan bagi menyambung kembali hasrat membangunkan negara.

Terdahulu kempen PRU15 berlangsung selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 5 Nov lalu yang dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti melibatkan anggota jentera parti dan calon-calon yang bertanding bagi meraih sokongan rakyat hinggalah ke 11.59 malam tadi.

PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15) manakala Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya diadakan serentak dengan PRU15 selepas tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.

Namun begitu, pertandingan bagi Parlimen Padang Serai terpaksa ditangguhkan berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi berkenaan M. Karupaiya pada Rabu. Dalam hal ini SPR menetapkan ia diadakan pada 7 Dis ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.