Selamat Mengundi… Undilah BN Demi Masa Hadapan Rakyat Malaysia – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merayu dan mengajak rakyat Malaysia untuk mengundi BN demi masa hadapan yang lebih cerah serta hidup aman dan sejahtera.

Katanya, hanya kerajaan yang kuat dan stabil sahaja akan dapat mengatasi pelbagai krisis, sama ada dalaman mahupun global.


“Dengan Perancangan Amal dan Usaha Barisan Nasional atau PADU, tekad, azam dan janji kami, insya-Allah, matlamat mencapai kestabilan dan kemakmuran, akan memberikan masa hadapan yang lebih baik buat Malaysia.

“Dengan mandat yang mutlak daripada saudara-saudari sekalian, kita mampu membentuk sebuah pasukan kerja yang mantap dan bersedia untuk mengharungi pelbagai krisis, sama ada dalaman mahupun global,” katanya dalam perutusan yang dibuat secara langsung menerusi platform media sosialnya.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, adalah wadah untuk BN mendapatkan kembali mandat rakyat dan ia penting kerana mereka yang diberikan peluang membentuk kerajaan pada PRU ke-14 lalu, telah memburukkan lagi keadaan negara.

“Ramai rakyat amat merindui kegemilangan BN yang telah mereka saksikan dahulu. Kegemilangan pembangunan negara, kerancakkan ekonomi yang menatijahkan kesejahteraan hidup rakyat.

“Sehubungan itu, pilihan raya kali ini adalah peluang untuk seluruh rakyat berganding bahu dan bersatu hati. Marilah kita bersama-sama menyelamatkan negara ini dan tidak bereksperimen dengan mereka yang tidak ada legasi rekod pembinaan negara.”

Katanya, BN mampu kekal teguh walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan politik dan BN menjanjikan kestabilan buat negara.

“Janji kita ini bersandarkan rekod kita selama ini dalam proses membuat keputusan. BN sentiasa berpegang kepada prinsip kolektif. Keputusan kita adalah keputusan bersama bersandarkan kepada keutamaan, kebenaran dan konsisten.

“Inilah yang diperlukan oleh negara. Inilah juga pendekatan kami selama in,i yang mampu menjamin kestabilan dapat dipelihara. Kestabilan amat penting bagi Malaysia untuk menarik semula keyakinan pelabur luar, keyakinan rakyat negara sendiri, bahawa mereka mempunyai masa hadapan yang cerah.

“Yakinlah, amalan yang dipratikkan dalam BN, tiada seorang pemimpin pun lebih tinggi daripada parti dan rakyat.”

Tegas Ahmad Zahid, BN kini bergerak kehadapan untuk melakukan reformasi di dalam parti dan kerajaan.

“Kami terbuka dengan segala kritikan dan bersedia untuk menerima pandangan daripada rakyat. BN bersedia untuk membuka lembaran baru, dengan membuat dasar-dasar yang lebih baik dan mengukuhkan pembangunan.

“Kami berjanji untuk melakukan perubahan yang progresif dalam masa beberapa bulan yang akan datang. BN berjanji, untuk memberikan yang lebih baik kepada rakyat selepas pilihan raya ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.