Kempen Menjelang Pengundian Terus Positif, Yakin Momentum Sokongan BN Di Jempol

 

JEMPOL, 18 Nov – “Ramai yang saya jumpa pagi ini di kedai-kedai minum sekitar pekan Bahau rupa-rupanya anak murid saya dahulu ketika mengajar di SMK Mansor dan Alhamdulillah mereka bukan setakat menyatakan sokongan malah sedia berkempen untuk saya  di Jempol ini”, kata calon Barisan Basional (BN) Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli.

Menurut beliau bukan setakat itu sahaja, malah suasana yang sama dapat dirasai serta dilihat di kawasan-kawasan lain sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan momentum tersebut akan ditingkatkan menjelang hari pengundian Sabtu ini.

“Tinggal satu hari lagi untuk berkempen… hari ini saya di pekan Bahau dibantu oleh MCA Jempol dan rakan-rakan jentera BN yang lain. Kita dah berada di Bahau beberapa kali… premis perniagaan serta kawasan perumahan dan sebagainya lagi yang menampakkan sokongan amat baik. Jadi rata-rata menyatakan sokongan dan ini perkembangan yang amat baik kepada BN Jempol.

“Kebetulan dahulu saya mengajar SK Datuk Mansur… dalam lawatan ke kedai-kedai minum terserempak pula dengan anak murid  dan mereka menyatakan untuk sama-sama membantu cikgu dia untuk berkempen. Saya amat terharu dan ini perkembangan yang baik,” katanya. kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau dan jentera parti mengadakan ‘walkabout’ bertemu pengundi di sekitar Pekan Bahau.

Sambil melahirkan rasa syukur dengan perkembangan berkenaan, beliau seterusnya menambah biarpun pelbagai parti yang bertanding pada PRU kali ini, namun BN mempunyai rekod cemerlang.

“Walaupun banyak parti bertanding pada kali ini, BN ada rekod cemerlang yang sentiasa menekankan politik perpaduan semua rakyat di negara kita dan ini fokus utama. Apabila rakyat bersatu padu barulah kita boleh menguruskan pembangunan.

“Dua teras BN sejak kita mentadbir negara berfokus kepada politik perpaduan semua kaum dalam negara kita dan juga politik pembangunan. Alhamdulillah 60 tahun inilah yang kita capai dan pernah jadi gergasi nombor dua ekonomi dia Asia Tenggara,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, rakyat perlu ingat tiada kemakmuran tanpa adanya kestabilan.

“Tiada kemakmuran tanpa kestabilan… apabila kita nak buat sesuatu yang penting adalah kemantapan politik… kestabilan politik tidak ada kacau ganggu maka kita boleh menstruktur, merencana serta merancang pembangunan negara dan paling penting adalah kepada pelabur-pelabur asing.

“Namun dalam tempoh pasca PRU sebelum ini apabila berlakunya politik kucar-kacir dan berlaku pertukaran pucuk pimpinan negara beberapa kali, mereka keluar daripada negara kita dan ini akan memberi kemudaratan serta masalah ekonomi kepada negara dalam jangka pendek, sederhana serta jangka panjang,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.