Sharkar Gunakan Baki Tempoh Kempen Sebaiknya, Tingkatkan Sokongan Demi Kemenangan BN

TEMERLOH, 17 Nov – Calon Barisan Nasional  (BN) Parlimen Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata baki tempoh berkempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke15 Sabtu ini akan digunakan sepenuhnya untuk terus meyakinkan pengundi bagi memilih BN demi kestabilan dan kemakmuran.

Menurutnya meskipun jadual harian yang padat, beliau akan tetap bertemu dengan masyarakat di kawasan tersebut sebaiknya kerana itu adalah rutin beliau selama ini.

“Dengan berbaki dua hari sahaja kempen, saya memulakan hari dengan dengan berkunjung ke lokasi-lokasi yang telah dijadualkan. Di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf kepada semua jika ada terkasar bahasa, menyinggung perasaan selama ini, terutama ketika masa kempen. Ini kerana ada juga panggilan telefon, pesanan whatsapp, komen-komen di sosial media tidak dapat saya layani kerana kekangan masa yang begitu padat.

“Namun, di setiap ruang masa yang ada saya akan usahakan untuk membaca dan ‘reply’ semua mesej dan komen. Setiap sokongan, doa dan kata-kata motivasi dari anda semua amatlah saya hargai dan tidak dapat saya membalas budi baik anda semua.”

Ujarnya, walaupun ada yang memberi cadangan agar mengurangkan jadual aktiviti kerana pada zaman media sosial ini, beliau boleh saja menghantar poster, pesanan dan apa saja melalui kecanggihan aplikasi media sosial.

“Namun saya mengatakan bahawa setiap waktu saya bertemu pengundi itu sangatlah penting buat saya, kerana bukan saja saya dapat bertemu mata dan beramah mesra, malahan ramai juga yang mengadukan masalah dan cadangan yang mungkin mereka tidak dapat menulisnya di media sosial secara terbuka,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi, dalam tempoh berkempen yang akan berakhir Jumaat ini, tidak mungkin dapat menemui kesemua pengundi Parlimen Temerloh yang jumlahnya lebih 100 ribu.

“Tetapi setiap detik yang ada, sejak dari awal pagi hingga ke tengah malam saya akan usahakan menemui pengundi dan mendengar sendiri apa yang mereka mahukan dan cadangkan.

“Itulah tradisi saya sejak dari mula mula dipilih sebagai wakil rakyat. Dan itulah yang akan saya lakukan selama saya dimahukan oleh pengundi menjadi wakil mereka, kini diperingkat Parlimen pula.

“Segalanya untuk Temerloh akan saya lakukan dengan sedaya upaya saya, dan saya memohon kepada anda semua sahabat maya saya untuk dapat mendoakan kelancaran kempen saya dan meraih kemenangan di hari mengundi nanti.  Dan hanya kepada Allah, kita berserah diri,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.