Pasukan BN Telah Terbukti, Pengundi Tidak Perlu Ragu Beri Kepercayaan Sabtu Ini – Tok Mat

JEMPOL , 17 Nov – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti itu mempunyai pasukan yang mantap untuk menerajui negara.

Menurut beliau perkara itu terbukti dan boleh dilihat apabila bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mampu dan boleh menerajui negara sepanjang 22 tahun pemerintahan beliau sebelum ini ketika negara diterajui kerajaan BN.

Namun kata Mohamad, Tun Dr Mahathir hanya mampu bertahan selama 22 bulan sahaja menerusi Pakatan Harapan pasca PRU yang lalu kerana pasukannya yang lemah.

“Kita ada pasukan yang terbaik dan terbukti… Kenapa Tun Mahathir mampu tadbir negara selama 22 tahun…kerana apa… kerana menteri yang berkaliber. Namun orang yang sama jadi perdana menteri kali kedua hanya bertahan selama 22 bulan. Kerana tak tahan… letak jawatan… menteri tak kompten.

“Jadi kepada rakyat jangan ragu-ragu… BN mempunyai barisan kepimpinan yang mantap. 19 Nov nanti kita akan bentuk pasukan untuk uruskan negara sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang bersama Tok Mat di Parlimen Jempol, di sini, hari ini.

Mohamad yang lebih dikenali Tok Mat seterusnya berkata pihak lawan akan cuba mengelirukan pengundi pada saat-saat akhir berkempen memandangkan mereka  ketiadaan isu untuk dimanipulasi.

“Jangan terperangkap dengan mainan psikologi oleh pihak lawan… mereka dah tak ada isu untuk dimainkan terpaksalah guna tohmahan termasuklah soal PM dan pelbagai isu lain. Modal mereka hanya nak kelirukan rakyat semata-mata,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.