Kak Gee Akan Teruskan Legasi Kecemerlangan BN Di Ketereh

KETEREH, 17 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin,39, komited meneruskan legasi kepimpinan BN di Ketereh pada penggal akan datang sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, pada Sabtu ini.

Beliau antara calon muda yang menggantikan penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, nekad mahu menjadikan isu kebajikan dan pendidikan sebagai agenda utama jika terpilih nanti.

“Saya harap jentera dan pengundi di sini setia bersama saya untuk pastikan BN menang pada 19 November nanti.

“Insya-Allah, saya berjanji mempertahankan rekod cemerlang dan kegemilangan Ketereh di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kok Lanas), Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad.

“Saya yakin keupayaan dan pengalaman dalam membela nasib rakyat menerusi gerak kerja yang dilaksanakan sepanjang saya bersama Pergerakan Puteri UMNO dan mampu melengkapi serta mematangkan diri sebagai ahli politik,” katanya.

Marzuani Ardila yang dikenali Kak Gee merupakan Ketua Puteri UMNO Ketereh merangkap Exco Puteri UMNO Malaysia.

Perjalanan politik beliau bermula sebagai ahli Puteri UMNO beliau kemudiannya mendapat mandat untuk menjawat jawatan Ketua Penerangan Puteri UMNO Ketereh pada 2004 selama satu penggal.

Ketokohan kepimpinan beliau terserlah sepanjang berkhidmat dengan Puteri UMNO membuatkan beliau kemudiannya diberikan kepercayaan menerajui Pergerakan Puteri UMNO Ketereh sejak 2008 sehingga kini.

Menurut Kak Gee, beliau bertuah kerana karisma kepimpinan yang dimiliki beliau adalah hasil bimbingan daripada dua figura hebat di Ketereh iaitu, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Hj Md Alwi.

Katanya, pemilihan beliau sebagai calon P026, Parlimen Ketereh dianggap sebagai satu wadah dalam meneruskan legasi kecemerlangan Ketereh yang telah dibina oleh pemimpin terdahulu.

Beliau bukanlah calon bidang terjun yang hanya muncul disaat pilihanraya tetapi beliau telah lama bersama menyumbang bakti kepada masyarakat di Ketereh.

“Sudah tiba masanya pengundi P026 Parlimen Ketereh memberikan kepercayaan kepada saya untuk meneruskan legasi kepimpinan BN. Saya amat berterima kasih kepada Tan Sri Annuar Musa yang sentiasa menyokong dan tidak jemu memberikan nasihat serta pandangan.

“Tan Sri Annuar juga turun padang sepanjang tempoh berkempen dan terus mara dalam arena politik, serta pilihan raya yang akan dilaluinya.

Marzuani akan ditentang Hanif Ibrahim (Gerakan); Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd. Nor (PN) dan Rahimi L. Muhamud (PH) pada PRU15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.