Jangan Bazir Undi, Pergolakan PN Akan Bawa Kepada Ketidakstabilan – Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Tuan Man mengenai Perikatan Nasional (PN) tidak didominasi oleh PPBM menunjukkan bahawa gabungan tersebut tidak mempunyai parti yang dominan serta membawa kepada ketidakstabilan sekiranya membentuk kerajaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pelbagai penafian yang dibuat oleh pemimpin tertinggi PN menunjukkan bahawa sedang berlaku pergolakan di dalam gabungan itu.

“Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim sudah menyatakan bahawa PN tidak didominasikan oleh PPBM. Jadi, ini juga adalah satu perkara yang menarik. Kalau tidak didominasikan oleh PPBM ertinya siapakah yang dominan dalam parti ini?

“Kalau mereka kata bersama-sama, saya rasa bahawa ini adalah resepi kepada suatu kerajaan yang tidak stabil lagi sekiranya mereka membentuk kerajaan. Penafian demi penafian telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin PN/PPBM menunjukkan bahawa pergolakan itu sedang berlaku,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Disebabkan pergolakan yang berlaku dalam PN, Ahmad Shabery turut menyeru para pengundi untuk tidak membazirkan undi mereka dengan membentuk kerajaan yang tidak stabil.

“Jadi sebab itu, saya ingin menyeru kepada para pengundi semuanya. Kalau kita lihat, yang menjadi betul-betul pertarungan dalam pilihan raya ini hanyalah di antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH). Bagi mereka yang tidak gemar kepada PH, pada suatu ketika dahulu mereka tertarik dengan PN dan sebenarnya mereka hanyalah membazirkan undi mereka.

“Saya menyeru sekali lagi dengan keadaan yang dilihat berlakunya kucar-kacir di barisan kepimpinan PN pada hari ini, maka janganlah bazir undi anda. Berikan sokongan yang kuat kepada BN, supaya inilah parti yang dapat membentuk kerajaan.

“Insya-Allah kita sudah melangkaui angka 112 sebagaimana yang kita tegaskan baru-baru ini dan ianya perlu dikukuhkan supaya undi-undi yang dianggap membazir itu tidak dibazirkan, untuk membolehkan parti-parti yang tidak digemari menerajui kerajaan selepas tanggal 19 haribulan,” katanya lagi.

Pada Rabu media melaporkan bahawa Pas menegaskan PN tidak didominasi PPBM meskipun segala keputusan pakatan itu diumumkan oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pendirian Pas tersebut menunjukkan bahawa gabungan itu sedang bergolak dan akan membentuk kerajaan yang tidak stabil sekiranya diberi mandat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.