Dua Dekad Di Arena Politik Khidmat Bakti: Rakyat, Jentera Pasir Salak Tahu Komitmen Saya – Khairul Azwan

PASIR SALAK, 17 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pasir Salak, Khairul Azwan Harun percaya hanya pengundi dan jentera parti mengenali dirinya dalam menjalankan politik khidmat bakti kepada rakyat di kawasan ini.

Katanya berbekalkan dua dekad perkhidmatan yang dicurahkan, hubungan yang telah terjalin sejak sekian lama juga menjadi kekuatan kepada beliau bagi mengekalkan kemenangan parti di Pasir Salak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya suka hendak katakan di sini berbekalkan hubungan baik dengan pengundi serta jentera parti setelah 21 tahun berkhidmat walaupun tidak menjadi wakil rakyat tetapi mereka mengenali dan mengetahui komitmen yang telah saya berikan.

“Walaupun ada macam-macam suara, saya rasa mungkin itu hanya segelintir sahaja yang mungkin saja hendak menjadi nakal sedikit tetapi tidak ada masalah boleh semak kesemua 56 PDM (Pusat Daerah Mengundi), bilik gerakan beroperasi, jenteranya berjalan dengan baik kita.

“Jadi apabila dinamakan sebagai calon, alhamdulillah bertanding atas tiket BN, saya tidak berhadapan dengan masalah Pusat Daerah Mengundi ditutup atau tidak dapat kerjasama bahkan kepimpinan bahagian pun menerima keputusan dan saya hari ini merupakan pengarah jentera pilihan raya,” katanya.

Jelas beliau sememangnya keputusan parti di peringkat bahagian, individu yang menjadi calon maka secara automatik menggalas tanggungjawab sebagai pengarah pilihan raya merangkumi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah dan Sungai Manik.

Khairul Azwan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian berkata, mendepani hari-hari terakhir berkempen ini beliau akan memastikan segala persiapan dilaksanakan sebaiknya bagi memastikan kelancaran pada hari pengundian.

“Dalam pusingan terakhir fokus terhadap gerak kerja mengenal pasti serta semak semula pengundi putih.

“Kita juga akan memuktamadkan jentera pada hari mengundi iaitu PACABA, IT Puteri, kenderaan, JR, raih undi bersedia sepenuhnya kerana untuk saya urus niaga pilihan raya adalah pada hari mengundi kerana sebanyak mana undi yang kita dapat hari itu.

“Berkempen berbulan dan berminggu namun akhirnya yang menentukan banyak mana jumlah undi yang kita perolehi,” ujar beliau.

Untuk rekod, Khairul Azwan pada 19 Nov ini akan berdepan dengan saingan empat penjuru iaitu calon daripada Pakatan Harapan, PN dan Pejuang. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.