Alhamdulillah… Momentum BN Terus Meningkat, Usaha Sehingga Saat Akhir – Tok Nan

 

KUALA PILAH, 17 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan yakin sokongan pengundi kian meningkat dan berharap ianya akan berterusan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 Sabtu ini.

Dalam pertemuannya bersama UMNO-Online, beliau turut berkongsi pandangan dan harapan agar masyarakat di Kuala Pilah membuat pilihan yang sebaiknya dengan memilih BN.

“Alhamdulillah setakat ini sokongan terus meningkat dan momentum gerak kerja terus ditingkat… dan saya cuba sedaya untuk bertemu seramai mungkin pengundi dalam Parlimen Kuala Pilah ini.

“Dalam tempoh kempen yang berbaki dua hari lagi, kita mesti tolak fitnah-fitnah dan sebagainya. Kita lihat di media sosial dan pelbagai lagi dan saya harap semua yang menerima berita-berita seumpama ini untuk ‘tabayyun’ (selidiki).

“Kita tengok betul-betul dan semak semula sama ada berita itu betul atau sebaliknya. Ini penting supaya kita tidak terkeliru dan akhirnya membuat pilihan yang salah dan ini kita harap tidak akan berlaku,” katanya yang mesra dengan panggilan Tok Nan di kalangan masyarakat setempat.

Kata beliau lagi, PRU ini adalah untuk memilih sebuah kerajaan yang dapat melaksanakan tanggungjawab sebaiknya untuk kepentingan rakyat.

“BN terbukti. Walaupun kita bukanlah parti yang ‘perfect’ tetapi dari segi perbandingan ‘track record’… masing-masing dah lalui zaman 22 bulan yang lalu dan semua rakyat tahu serta merasai himpitan ekonomi selain janji-janji yang mereka buat.

“Saya harap rakyat dapat buat perbandingan. Secara perbandingannya kita lebih baik daripada mereka yang telah menipu rakyat selama ini dan inilah yang saya lihat daripada reaksi daripada pengundi mereka tidak lagi mahu mengalami nasib yang sama pasca PRU yang lalu,” tambahnya.

Kerusi Parlimen Kuala Pilah pada PRU-15 ini menyaksikan pertembungan lima penjuru termasuk penyandangnya Datuk Eddin Syazlee Shith dari PPBM wakil Perikatan Nasional (PN) yang dahulunya pada PRU-14 mewakili Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo PKR.

Selain Adnan dan Eddin Syazlee Shith yang kini mewakili PN-PPBM ialah calon PH, Nor Azman Mohamad.

Turut bersaing bagi merebut kerusi itu ialah calon Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Kamarulzaman Kamdias dan wakil Parti Warisan, Datuk Azman Idris.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.