Rakyat Perlukan Parti Berkhidmat, Bukan Parti Kaya-Raya – Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Rakyat tidak memandang parti mana yang mempunyai harta yang banyak, sebaliknya memerlukan parti yang banyak memberikan manfaat kepada mereka untuk membentuk kerajaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tindakan pihak lawan yang bermewah-mewahan semasa tempoh berkempen langsung tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat.

“Saya rasa kita dapat saksikan sepanjang kempen ini parti manakah yang dilihat mewah? Poster, sepanduk, billboard yang besar-besar. Apakah itu melambangkan mereka ‘parti derita’?

“Mereka menayangkan bahawa ada calon-calon yang mempunyai harta lebih RM100 juta, RM18 juta dan puluhan juta. Itu bukan cerita ‘parti derita’. Apa yang penting sekarang ini, siapa boleh memberikan manfaat kepada rakyat kerana mereka yang menderita,” katanya pada satu sidang media yang diadakan pada Rabu.

Menurutnya, rakyat merasakan betapa seriknya zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan tidak mahu untuk mengulanginya semula.

“Kalau dahulu semasa PH memerintah, ramai hilang pekerjaan, ekonomi merudum, pelabur lari daripada pasaran saham kita sehingga menyebabkan nilai Ringgit jatuh. Apa terjadi kepada komoditi kita, peneroka Felda dan bagaimana orang begitu bangga dengan sumbangan RM30 semasa PH memerintah.

“Apa yang penting sekarang ini, siapa yang dapat memberikan terbaik kepada rakyat. Bukan tentang soal parti mana yang kaya atau parti mana yang paling bergaya dalam kempen mereka. Tetapi, apakah yang diberikan kepada rakyat.

“Ramai yang memberitahu saya betapa seriknya mereka selama 22 bulan di bawah kerajaan PH. Hanya disebabkan mereka ingin membatalkan semua legasi yang ditinggalkan oleh BN, mereka sanggup untuk membatalkan segala projek. Jadi saya percaya sekiranya PH kembali berkuasa, perkara-perkara tersebut akan diulangi lagi,” katanya lagi.

Selepas PRU14, Malaysia berada dalam keadaan tidak stabil khususnya dalam sudut politik apabila Pakatan Harapan menjadi kerajaan kali pertama menggantikan Barisan Nasional semenjak merdeka.

Ketidak stabilan inilah yang membuatkan Pakatan Harapan hanya mampu bertahan selama 22 bulan. Ini kerana Pakatan Harapan hanyalah gabungan rapuh yang membentuk pakatan ‘kosmetik’ kerana parti-parti gabungan tersebut mempunyai agenda masing-masing. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.