PRU15: Tiada Perbincangan Gabung Dengan Parti Lain Bentuk Kerajaan

ALOR GAJAH, 16 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Alor Gajah merangkap Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata parti pada ketika ini tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan untuk bersama dengan gabungan lain selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun katanya, jika keputusan PRU15 menunjukkan BN tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan ianya hanya akan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Dewan Tertinggi BN.

“Kita hendak buat apa-apa keputusan parti, mesti bincang dalam MKT dan Dewan Tertinggi BN namun ketika ini memang tidak ada apa-apa keputusan untuk kita kerjasama dengan sesiapa selepas PRU.

“Kalau kita tak cukup kerusi untuk bentuk kerajaan tapi kita dominan macam Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kata baru-baru ini kita akan bawa ke MKT untuk tengok kerjasama dengan siapa kalau perlu, setakat ini itu sahaja,” katanya ditemui UMNO Online pada perjumpaan bersama jentera di Pusat Daerah Mengundi Jelatang di Rembia tengah hari tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberikan respon berkenaan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dilaporkan berkata tidak menolak kemungkinan Perikatan Nasional (PN) akan membentuk kerajaan dengan BN pada PRU15 ini.

Shahril dalam pada itu berkata perbincangan berkenaan perkara itu bukan perkara utama kerana parti pada ketika ini fokus kepada gerak kerja kempen yang berbaki hanya dua hari.

“Dalam dua hari setengah baki ini semua fokus untuk menang kita tidak bincang atau fikir tentang apa yang berlaku dari segi kerjasama dengan sesiapa

“… tetapi kalau ada orang yang memikirkan ke arah itu saya ingat itu urusan mereka sendiri dengan secara hormatnya,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.