PRU15 Penentu Kerajaan Masa Hadapan… Jangan Lupa Nilai PRU14

PILIHAN RAYA UMUM (PRU) ke-15 penentu parti mana yang akan memerintah kerajaan untuk tempoh lima tahun seterusnya. Pilihan raya pada kali ini merupakan penentu penting bagi pengundi dan rakyat sama ada ingin berubah kepada kerajaan yang boleh fokus membangunkan negara dan menyelesaikan masalah rakyat ataupun membuat pilihan untuk terus berhadapan situasi sama dihadapi dalam tempoh empat tahun lebih kebelakang ini.

Sudah tentu majoriti rakyat tidak sanggup berhadapan dengan situasi sama, cuma segelintir kelompok sahaja yang mungkin rasa tidak terkesan dan mungkin juga faktor ketaksuban cuba menepis realiti sebenar yang berlaku. Permasalahan yang terjadi adalah tentang ketidakstabilan dan formula untuk mengubatinya hanya dengan mewujudkan kembali sebuah kerajaan stabil melalui pemilihan sebuah parti yang mendapat kerusi terbanyak serta kukuh majoritinya untuk mentadbir negara.

Dari sudut apa pengundi boleh menilai?

Dua perkara menjadi tawaran dalam kempen iaitu parti dan calon. Dalam kriteria melihat dari sudut parti lihatlah kepada tiga sudut iaitu apa yang telah terjadi pada PRU14 dan apa pengajaran yang kita boleh ambil dari pengalaman itu. Keduanya kena tahu dan fahami asas perjuangan parti-parti yang bertanding. Ketiganya apa naratif atau hala tuju parti-parti bertanding hendak bawa Malaysia untuk tempoh seterusnya.

Untuk PRU15 ini tiada lagi istilah ingin mencuba dan memberi peluang kepada parti selain Barisan Nasional (BN) memerintah sepertimana hasutan dan ajakan yang berlaku pada PRU14. Akibatnya perkara yang tidak pernah terjadi dalam sejarah iaitu berlakunya pertukaran Perdana Menteri dalam sepenggal. Ianya merencatkan segala-galanya, ia meminggirkan Malaysia daripada menjadi pilihan pelaburan yang akhirnya memberi kesan langsung kepada rakyat.

22 bulan dalam Pakatan Harapan (PH) dan 17 bulan dalam Perikatan Nasional (PN) menyajikan pengalaman perit rakyat dengan ketidakharmoniannya masyarakat pelbagai kaum. Namun mujurlah masih terdapat ahli-ahli Parlimen BN yang membantu di kementerian-kementerian penting iaitu bersama dalam kerajaan PN.

Selepas itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula diangkat sebagai Perdana Menteri setelah kegagalan Tan Sri Mahiaddin Yasin (TSMY) menguruskan negara terutamanya dalam isu darurat serta PKP yang berpanjangan.

Sebenarnya kegagalan Perdana Menteri menguruskan negara dengan baik bukan kerana kelayakan personalnya namun dukungan parti yang berada dibelakangnya sendiri. Jadi resipi untuk sebuah kestabilan adalah parti yang menjadi kerajaan perlulah kukuh majoritinya dan seorang yang berkelayakan dalam gabungan tersebut, diangkat menjadi ketua iaitu sebagai Perdana Menteri.

Hal ini telah dibuktikan bagaimana seorang yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun gagal mengekalkan jawatannya malah hanya mampu bertahan 22 bulan sahaja. Jadi kestabilan parti itu sangat penting kerana ketidakstabilan akan menguji pelbagai perkara termasuk kesetiaan selain soal ekonomi dan kemakmuran rakyat.

Tempoh lebih empat tahun lepas telah menyaksikan pencapaian Malaysia telah jauh ketinggalan dari negara jiran yang sudah tentu kita tidak mahu lagi lompong tersebut terus membesar.

Asas perjuangan parti-parti bertanding adalah antara perkara yang perlu rakyat nilaikan. Asas perjuangan umpama biji benih isitu hasil atau buahnya tidak boleh menjangka akan keluar buah durian jika biji benih yang ditanam adalah rambutan.

Rakyat perlu menilai asas perjuangan parti-parti yang terdapat dalam PH, PN dan BN. PH terdiri daripada Democratic Action Party (Dap), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah). Dap dengan memperjuangkan hak sama rata yang ada orang mengatakan ianya adalah parti fahaman komunis, PKR yang asalnya tertubuh untuk pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang sekarang dah bebas maka apa pula perjuangannya?

Sebab itu hampir semua pengasas parti telah meninggalkan PKR. PKR tiada hala perjuangan yang jelas selain memastikan kelangsungan hayat politik DSAI juga yang kita nampak isteri dan anaknya mendapat tempat ataupun kerusi di Dewan Rakyat. Bukankah DSAI dahulu konsisten menyatakan yang Tun Dr. Mahathir Mohamad seorang kronisme dan nepotime? Sekarang itu pula yang menjadi amalannya, jadi ianya boleh dikata cakap tak serupa bikin dan boleh diumpamakan lidah bercabang.

Macam mana munculnya parti Amanah ni? Amanah tertubuh kerana presidennya Mohamad Sabu membawa bersama penyokongnya dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) setelah tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden, jadi kira merajuklah dan bukan kerana asas perjuangan rakyat. Dari sini jelas tidak nampak pun apa perjuangan PH untuk rakyat dan mereka bijak mengambil peluang, menghasut dan menyemai kebencian demi mendapat tempat dan kuasa untuk diri atau kelompok sendiri, tiada apa-apa manfaat pun untuk rakyat.

PN, sebuah gabungan antaranya terdiri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PAS dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). PPBM ditubuh oleh bekas pemimpin UMNO yang cuba menyaingi UMNO bagi mendapat sokongan orang Melayu. Hakikatnya PPBM telah menjadi lubuk kepada pelompat dan pengkhianat parti. PPBM sedaya berusaha menutup imej tersebut namun ianya sukar justeru pelbagai slogan digunakan sama ada untuk memburukkan musuh atau menutup aib sendiri.

PPBM sebelum membentuk PN bersama Pas adalah sebahagian daripada PH yang telah merosakkan negara selama 22 bulan, ianya tidak boleh dimaafkan. Sekarang PPBM cuba membina imej kononnya terbaik dan dengan bersama Pas mereka jangka akan lebih cepat nampak baik kerana kononnya imej lebai yang ditampilkan Pas. Pas lupa ke TSMY pernah menghamburkan kata-kata buruk secara terbuka tentang Pas ni? Tak lupa eh, tapi nak buat macam mana matlamat politik boleh mengenepikan segalanya.

Pas sendiri pernah bersama Das dalam Pakatan Rakyat (PR) jadi tak ada masalah bagi Pas untuk tidak bersama UMNO membentuk Muafakat Nasional dan memilih PN. Pas yang dulu perjuangkan hudud, kemudian negara berkebajikan sekarang semuanya hilang dek mengejar bilangan kerusi serta jawatan dalam kerajaan.

Apa sumbangan Menteri, Duta Khas atau Timbalan Menteri yang pemimpin Pas jawat? Susah juga nak sediakan jawapannya. Gerakan yang dulunya bersama BN meninggalkan gabungan setelah BN tewas pada PRU14, idealogi Gerakan adalah bersederhana dan liberal tak banyak berbeza dengan Das namun Gerakan tidak ekstrim seperti Das. Sebab itu jika suatu masa dahulu Gerakan kuat, Das lemah dan sekarang Das kuat, Gerakan lemah. Pengikut kedua kedua parti lebih cenderung memilih antara dua parti tersebut berbanding MCA dan MIC.

BN sebuah gabungan parti yang telah lama berbakti dan membangunkan negara. BN ditunjang tiga parti utama mewakili kaum-kaum utama di Malaysia ditubuh atas kesedaran perlunya kerjasama menubuh satu gabungan parti bagi membangunkan negara selepas Merdeka. Matlamat perjuangannya jelas, BN bukan untuk pemimpin atau kelompok tertentu, BN adalah dari rakyat dan untuk rakyat.

BN bukannya parti legasi atau parti keluarga seperti parti-parti yang lain jadi BN adalah parti pilihan terbaik buat rakyat Malaysia. Sebuah lagi gabungan adalah GTA/Pejuang tidaklah memberi saingan sangat dalam PRU15 ini, begitu juga Warisan dan calon-calon bebas yang lain. Namun beberapa kerusi mampu dimenangi oleh mereka.

Selepas asas perjuangan, rakyat perlu menilai dari sudut hala tuju atau naratif ke mana negara nak dibawa selepas PRU15. Ianya sangat penting. Setelah ketinggalan negara perlukan langkah yang dinamik dan kerajaan yang bersinergi tinggi kerana negara akan berhadapan dengan cabaran yang bukan biasa-biasa pada masa hadapan. Langkah mengadakan PRU pada masa sekarang sesuatu langkah yang tepat, Malaysia tidak boleh dilengahkan pembangunannya semata-mata untuk memanjangkan hayat politik kelompok tertentu.

Malaysia sebenarnya telah dibazirkan bertahun untuk kepanjangan hayat politik dan korbannya rakyat menjadi mangsa. Untuk tahun baru 2023 nanti kita tidak boleh menoleh kebelakang. Baki masa tahun 2022 yang ada selepas PRU15 harus digunakan sebaiknya untuk merancang dan tiba tahun 2023 kita terus bekerja membetulkan keadaan dan memajukan negara. Kita sememangnya menghormati hak dan keputusan beberapa kerajaan negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri namun di sini rakyat boleh menilai alasan serta motif kenapa ianya tidak dilakukan.

Parti bertanding di PRU15 rancak berkempen dengan slogan dan motto untuk menarik pengundi. PH dengan ‘Ayuh Malaysia, Kita Boleh’ terus menjadi buah mulut rakyat. Ada yang kata Kita Boleh tipu lagi ke, rata-rata berkisar seperti itu. Malah ada pemimpin PH yang dihalau ketika berkempen gara-gara kegagalan menunaikan janji yang dilontarkan semasa kempen pada PRU14.

PH boleh dikata berada pada tahap sokongan yang rendah kerana kaum Cina yang menjadi penyokong utama melalui parti Dap sudah mula hilang kepercayaan akibat ekonomi yang teruk setelah PH memerintah. Signal telah ditunjukkan oleh kaum Cina semasa PRK Tg Piai iaitu tidak memberi undi kepada PH dan protes tidak keluar mengundi pada PRN Melaka dan Johor. PRU15 kali ini dijangka kedua-dua sentimen itu akan berlaku iaitu pengundi Cina sama ada tidak akan mengundi PH atau tidak keluar mengundi.

PN dengan ‘PN BEST Prihatin, Bersih dan Stabil’ sedar bahawa kestabilan itu penting. Seperti yang telah dinyatakan PPBM yang menunjangi PN ini licik dalam mengeluarkan kata kata propaganda. Apabila kita berbicara tentang stabil, sebenarnya stabil ni adalah sesuatu yang inklusif. Stabil wujud disebabkan oleh keprihatinan, bersih dan segala yang positif dan yang baik baik bukan semata prihatin dan bersih sahaja.

Bagaimana sebuah bot nak stabil jika di dalamnya terdapat penumpang yang tidak prihatin dengan nasib rakyat buktinya sehingga ada rakyat mengangkat bendera putih. Bagaimana bot nak stabil jika di dalamnya terdapat mereka yang suka melompat-lompat dan dalam diam cuba khianat dengan menebuk lubang di bot. Kemudian jika stabil pun ke mana destinasi nak gerakkan bot. Takkan nak statik di tengah laut, harapkan angin atau arus menolak.


BN menawarkan Perancangan Amal dan Usaha (PADU), bersistematik, realisitik dan mampu dilaksanakan. BN tidak menawarkan janji bulan dan bintang sepertimana manifesto PH PRU14 sehingga mampu mempengaruhi pengundi. Dengan motto ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ ianya jelas matlamat BN yang utama adalah membentuk kestabilan bagi membawa kemakmuran kepada Malaysia. Tiada yang mengarut dalam PADU BN, semua golongan akan mendapat manfaat dengan 10 teras dan 99 perkara ianya menyeluruh dan manfaat kemakmurannya akan dapat kepada semua.

PADU Jauh berbeza dengan apa tawaran PH yang tidak memikirkan secara kritis keperluan dan permasalahan rakyat sehinggakan suatu masa dahulu menterinya menggalakkan penoreh keluar menorah di musim hujan bagi menambah pendapatan, tak tahu bagaimana nak pasarkan minyak kelapa sawit disuruh rakyat minum kelapa sawit pula.

Itulah huraian perkara perkara yang perlu rakyat pertimbangkan dalam membuat keputusan pemilihan parti pada beberapa hari lagi. Nilailah pada parti yang mampu stabil dan yang mempunyai rekod membawa kemakmuran kepada Malaysia.

Fikirkan juga risiko-risiko yang bakal rakyat hadapi jika memilih sesuatu parti itu. Rakyat Malaysia perlu diingatkan kepada bagaimana sebuah kedaulatan strategik negara iaitu Pulau Batu Puteh boleh dilepaskan dalam tempoh 22 bulan PH memerintah yang ketika itu PPBM ada bersama. Jika lebih lama tak tahulah kedaulatan apa lagi yang akan hilang. Kedaulatan yang kecil itu tak boleh dijaga apa lagi lebih 30 juta rakyat yang ada di dalamnya, fikir fikirkan.

Malaysia tiada pilihan, Malaysia perlukan kestabilan untuk kemakmuran masa hadapan. BN mempunyai rekod pencapaian, BN mempunyai kemampuan, tiada lagi cuba-cuba untuk rakyat pada PRU kali ini kerana masa tidak boleh dibazirkan. Kita telah ketinggalan jadi kita tiada pilihan hanya undi kepada Barisan Nasional – BN.

Undi BN, undi untuk kestabilan, undi BN undi membawa kepada kemakmuran!


Oleh: Norman Sapar

**********************************************************************

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.