Hanya Rakyat Boleh Hentikan Drama Politiking, Pilih BN Demi Kestabilan Negara – Armishah

LANGKAWI, 16 Nov – Calon UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Langkawi, Datuk Armishah Siraj menyifatkan rakyat sudah muak dengan drama politik yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Katanya ini termasuk penyandang kerusi ini iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad mengabaikan peranan beliau sebagai wakil rakyat di sini kerana fokusnya tertumpu menjaga jawatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 bulan.

“Ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) macam-macam berlaku disebabkan ketidakstabilan politik sehinggakan saya merasakan 22 bulan itu asyik berpolitik terlalu banyak sehinggakan rakyat sudah jadi bosan sampaikan silih berganti Perdana Menteri.

“…dengan ekonomi tidak terurus, kita hendak bekerja tetapi halangan yang berlaku ini terlalu banyak iaitu politiking sehinggakan kesempatan untuk Tun Mahathir bagi perhatian di Langkawi langsung tidak ada,” katanya.

Armishah berkata satu-satunya jalan untuk memastikan kestabilan diperolehi negara adalah dengan mengundi BN kerana parti ini satu-satunya membawa perjuangan rakyat ke arah masa depan yang lebih baik.

“Macam mana hendak hentikan? Satu cara pilih kerajaan yang stabil, kadang-kadang hanya tiga atau empat kerusi sahaja lebih ini kemudian ada ugutan daripada ahli-ahli Parlimen, ini yang kita tidak mahu.

“Jadi kepada rakyat saya minta buat pilihan yang tepat supaya kerajaan yang dipilih itu benar-benar ada mandat untuk bentuk kerajaan terus buat kerja.

“Kita perlu hentikan politiking semua ini cukuplah rakyat sudah sengsara banyak, insya-Allah saya mewakili UMNO/BN kita berusaha untuk menyantuni dan tunjuk kepada rakyat bahawa kita boleh bekerja,” ujar beliau.

Arminshah pada PRU15 ini akan berdepan dengan saingan lima penjuru iaitu calon daripada PH, Perikatan Nasional, Pejuang dan Bebas.

Untuk rekod Langkawi merupakan kubu kuat BN, namun 2018 mencatatkan sejarah tersendiri apabila kerusi tersebut dimenangi PH yang mempertaruhkan Tun Mahathir pada PRU14. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.