BN Diserang Dari Pelbagai Penjuru Dan Parti, Ada Yang Mahu ‘Bunuh’ UMNO

LENGGONG, 16 Nov – Ahli Majis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata jika dilihat kepada politik Malaysia, hampir kebanyakan parti politik yang wujud hanyalah semata-mata mahu menentang UMNO/Barisan Nasional (BN).

Kata Pengarah Komunikasi BN pusat itu, mereka tahu untuk berkuasa perlu mengalahkan UMNO dan itulah apa yang telah dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini serta begitu juga Perikatan Nasional (PN), Pejuang dan Warisan.

“Sebab itu dalam apa keadaan sekalipun mereka mencari sesuatu yang membolehkan rakyat marah, rasa benci kepada BN. Jadi, ramai orang tahu yang dilihat benar-benar menentang UMNO adalah PH tapi realiti juga yang sedang berusaha hendak menjatuhkan UMNO/BN ialah PN sendiri.

“Kerana asas penubuhan Bersatu (PPBM) sudah ketahui dan jelas mahu membunuh dan mematikan UMNO dalam politik negara ini. Sebab itu pada awal penubuhannya ia dianggotai tokoh-tokoh yang asalnya daripada parti ini (UMNO) Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum itu Tun Dr Mahathir Mohamad dan ditambah keanggotaannya oleh tokoh-tokoh asalnya daripada UMNO yang melompat.

“Sebab itu dendam dan hasrat untuk mematikan UMNO/BN dalam politik negara ini cukup jelas sekali dan mereka menjadikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini sebagai medan yang mereka perlukan kerana mereka sendiri gagal di pilihan raya (negeri) di Johor, Melaka,” jelas calon BN yang juga penyandang kerusi Parlimen Lenggong itu dalam satu temubual eksklusif bersama UMNO Online di bilik gerakan Parlimen, di sini baru-baru ini.

Tambah Dr Shamsul, selain mencuri pemimpin dan ahli UMNO, untuk menunjukkan UMNO adalah musuh utama, keanggotaan PPBM juga ditambah dari mereka yang melompat dari PH/PKR.

“Gabungan pelbagai tokoh yang kebanyakannya melompat dari parti lain ini sebenarnya memperlihatkan bahawa mereka meletakkan BN sebagai musuh utama.

“Sebab itu BN sedang berhadapan bukan hanya PH tetapi PN termasuk parti-parti lain. Sebab itu BN ketika ini diserang dari pelbagai penjuru dan parti sama ada sejak dulu lagi menjadi musuh Dap, PKR dan sebagainya ditambah parti-parti baru termasuk parti yang dipimpin oleh Dr Mahathir, dan Putra,” ujarnya.

BN katanya maklum perkara berkenaan dan walaupun menjadi cabaran besar tetapi BN juga mempunyai strategi dan pendekatan tersendiri bagi berhadapan dengannya.

Mengulas lanjut, Dr Shamsul berkata PN memainkan isu kononnya ada kerjasama antara BN dan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun hakikatnya Muhyiddin yang berkehendakkan khemah besar bersama PH dan lain-lain parti.

“…misalnya terbaru apabila mendakwa kononnya Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sedang merangka hubungan dengan Anwar Ibrahim untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Perkara ini telahpun dijelaskan beberapa kali sama ada keputusan yang telah dibuat di dalam Perhimpunan Agung UMNO ataupun pendirian kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin utama parti.

“Sepatutnya perkara ini tidak berbangkit lagi tetapi mereka tetap memanipulasikan isu ini kerana mereka mahu mengelirukan rakyat dan menjadikan pemimpin utama kita sebagai sasaran.

“Realiti sebenarnya yang mahu mengadakan hubungan dengan Anwar ialah PN. Muhyiddin telahpun secara terbuka menyebut bahawa beliau sedang berusaha untuk membentuk khemah besar. Khemah besar itu dengan siapa? Adalah dengan PKR, Dap, Amanah tetapi apa yang hendak dilaksanakan itu terbantut di tengah jalan kerana ditentang oleh Pas,” katanya.

Ini sangat jelas sebenarnya PN yang diterajui Muhyiddin yang ada usaha mahu membuat hubungan dengan PH dan Anwar, bidasnya.

“Sebab itu… ini menggambarkan kredibiliti pemimpin-pemimpin seperti Muhyiddin ini kita tidak boleh pegang. Malah sebenarnya saya ingin sebut bahawa rakyat Malaysia jangan terkejut saya berani berkata jikalah nanti PN tidak cukup kerusi dan mereka boleh membentuk gabungan dengan Dap, Anwar, mereka akan buat kerana apa… kerana sejarah sudah ada.

“Tan Sri Muhyiddin memang bersama dengan Dap sebelum ini. Pas pun sudah ada sejarah dengan Dap. Jadi, kemungkinan-kemungkinan itu berlaku. Jadi saya nak bagitahu kepada rakyat Malaysia sebenarnya berhati-hati kerana parti inilah yang boleh membentuk kerjasama dengan Dap, Anwar kerana sejarahnya sudah ada,” tegasnya.

Hakikatnya kata Dr Shamsul lagi, hanya UMNO/BN yang tidak pernah berhubung dan mengadakan kerjasama dengan Dap. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.