Wakil Rakyat Bawa Amanah, Bukan Perwatakan Populis – Dr Fathul

 

KANGAR, 8 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jaya berkata menjadi seorang wakil rakyat memerlukan sikap tanggungjawab dalam membawa amanah rakyat.

Katanya, meskipun sebagai calon baharu mewakili parti beliau berpandangan perwatakan yang populis yang dibawa oleh segelintir ahli Parlimen adalah suatu yang tidak sewajarnya berlaku.

“Rakyat mungkin boleh menilai dengan janji dan khidmat bakti yang telah diberikan penyandang sepanjang perkhidmatan. Mungkin saya ada pandangan yang berbeza kerana perjuangan yang kita bawa adalah politik khidmat bukan politik bersifat populis.

“Bukan sekadar bercakap di Parlimen dan lontarkan idea bererti menunaikan tanggungjawab dan peranan wakil rakyat bahkan lebih besar daripada itu,” katanya ketika ditemui UMNO Online

Bahkan Dr Fathul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata sebenarnya ia meliputi konteks amanah yang meluas kerana melibatkan pembelaan kepada rakyat termasuk dasar-dasar yang semestinya memberikan impak kepada pentadbiran negara.

“Bila bercakap mengenai peranan ahli Parlimen ini adalah membawa hasrat, isu, permasalahan rakyat di kawasan yang tidak dapat diselesaikan di peringkat negeri untuk perubahan dasar, suara kepada kerajaan.

“Bukan sekadar populis bercakap di Parlimen, bukan menyentuh mengenai isu luar yang tiada kaitan pun dengan rakyat kerana perkara yang perlu dijadikan keutamaan adalah kebajikan kepada rakyat.

“Saya sejak empat lima tahun dahulu sudah menjalankan peranan, boleh semak di website saya iaitu fathulbari.my ada aktiviti dan program dengan pelbagai segmen iaitu agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, ibu tunggal, kanak-kanak, pendidikan, ekonomi, industri kecil dan sederhana (IKS) semua ada dalam itu apa yang telah kita buat,” ujar beliau.

Dr Fathul pada 19 Nov ini akan berdepan dengan saingan lima penjuru iaitu calon daripada Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Warisan dan Pejuang.

Untuk rekod Kangar merupakan kubu kuat BN, namun 2018 mencatatkan sejarah tersendiri apabila kerusi tersebut dimenangi oleh parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.