Shahar Tekad Hebatkan Lagi Paya Besar Demi Kemakmuran Rakyat

PAYA BESAR, 8 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 beliau akan memperhebatkan lagi kawasan ini.

Jelas beliau, Paya Besar ini mempunyai potensi yang cukup hebat untuk membangunkan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen ini.

“Sudah pasti misi dan visi adalah memperhebatkan kawasan Parlimen Paya Besar yang mempunyai potensi yang sangat luas dan perlu adanya strategi yang tepat dan masa yang tepat untuk membangunkan kawasan ini yang merangkumi DUN Lepar, Panching dan Sungai Lembing.

“Saya mahu hebatkan kawasan Paya Besar ini bukan sahaja insfrastruktur tapi pembangunan insan dapat ditingkatkan lagi terutamanya dari segi keupayaan mendapatkan perkerjaan, akses kepada pendidikan, mempunyai kesihatan yang lebih baik.

“Paling penting adalah keselamatan dan kemakmuran yang dapat diperjuangkan agar tempat ini dapat dibangunkan dengan jayanya,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia menjelaskan BN adalah sebuah parti yang terbaik serta banyak berjasa pada negara dan rakyat Malaysia.

“BN merupakan parti yang memimpin kerajaan begitu lama. Sudah pasti jasa, pengorbanan dan urus tadbir yang baik oleh BN akan menjadi pertaruhan dalam penilaian dan panduan kepada pengundi Paya Besar.

“Sudah pasti 53 bulan lalu terutamanya di Paya Besar ini saya melakukan khidmat bakti penuh keikhlasan dan kesungguhan serta meletakkan komitmen yang sangat tinggi sejak menang pada PRU lalu dan melakukan perubahan-perubahan untuk penduduk di sini,” jelas beliau.

Tambah beliau hanya BN yang boleh menjamin kembali kestabilan dan kemakmuran negara.

“Seluruh negara harus meletakkan panduan dan berasaskan prestasi bagi memastikan BN dapat kembali mentadbir negara demi kestabilan dan kemakmuran hanya dapat dicapai sekiranya mempunyai sistem pemerintahan yang stabil,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.